BELANJAWAN 2025 > BERITA

Indonesia Musnahkan Udang Tercemar CS-137

17/11/2025 05:35 PM

JAKARTA, 17 Nov (Bernama-ANTARA) -- Agensi Kuarantin Indonesia (Barantin) mengesahkan pemusnahan 5.7 tan udang dalam 494 karton yang tercemar bahan radioaktif Cesium-137 (Cs-137) adalah langkah penting bagi memastikan keselamatan makanan, lapor ANTARA.

Pengarah Bahagian Kuarantin Ikan Barantin, Akhmad Alfaraby,  berkata tindakan pemusnahan itu mencerminkan komitmen kerajaan dalam melindungi keselamatan makanan serta sumber biologi negara.

“Ini adalah komitmen Barantin untuk memastikan keselamatan makanan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad. 

Dengan kerjasama Pasukan Petugas Pengendalian Cesium-137, Barantin melaksanakan pemusnahan produk udang tercemar Cs-137 pada Sabtu. 

Menurut Alfaraby, langkah itu penting bagi memastikan semua produk makanan yang dipasarkan adalah selamat, sihat dan bebas daripada risiko terhadap manusia serta alam sekitar.

“Sebanyak 494 karton mengandungi udang tercemar dimusnahkan berdasarkan cadangan Barantin dan Badan Kawal Selia Tenaga Nuklear (Bapeten),” katanya.

Proses pemusnahan dijalankan secara bersepadu bersama Kementerian Alam Sekitar/Agensi Kawalan Alam Sekitar (KLH/BPLH), Bapeten dan Agensi Penyelidikan dan Inovasi Negara (BRIN) melalui Unit Kluster Cesium-137.

Kerjasama pelbagai agensi ini demi memastikan semua prosedur dan proses pemusnahan mematuhi piawaian keselamatan radiasi. 

Pemusnahan dilakukan di fasiliti PT Prasadha Pamunah Limbah Industri (PPLI) di Bogor.

Pemusnahan udang itu dilaksanakan selepas pihak berkuasa Amerika Syarikat mengesan 494 kotak kadbod dengan permukaan luar tercemar bahan radioaktif Cs-137.

-- BERNAMA-ANTARA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan