BELANJAWAN 2025 > BERITA

WDOR 2025: JPJ Seru Masyarakat Ubah Sikap, Bina Pemanduan Berhemah

16/11/2025 10:57 PM

KUALA LUMPUR, 16 Nov (Bernama) -- Masyarakat diseru supaya mengubah sikap serta membina budaya pemanduan lebih berhemah dan bertanggungjawab.

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Malaysia (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli menegaskan keselamatan jalan raya adalah amanah bersama seluruh rakyat dan setiap pengguna perlu memainkan peranan mematuhi undang-undang serta saling menghormati di jalan raya.

“Bersempena sambutan Peringatan Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia (WDoR) 2025 yang disambut di seluruh dunia hari ini, JPJ menyeru seluruh rakyat Malaysia agar menghargai setiap nyawa di jalan raya dan saling berusaha mengurangkan kadar kemalangan jalan raya melalui pematuhan undang-undang jalan raya,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata JPJ juga kekal komited dalam memperkukuh penguatkuasaan melalui operasi bersepadu di samping memperluas program advokasi serta kempen kesedaran digital kepada pelbagai kumpulan masyarakat.

Beliau berkata usaha berkenaan turut diperkukuhkan menerusi kerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menyokong agenda keselamatan jalan raya negara.

“JPJ menegaskan komitmen untuk terus mengurangkan kadar kemalangan, memastikan keselamatan pengguna sebagai keutamaan nasional, seiring aspirasi Malaysia menuju sistem pengangkutan yang lebih selamat,” katanya.

Sambutan WDoR tahun ini yang bertemakan Investing in Safe Roads to Recover Our Lost Talents menekankan mengenai keperluan melabur dalam infrastruktur jalan raya yang selamat dan sistem pengangkutan pintar demi melindungi semua pengguna tanpa mengira latar belakang atau keupayaan terutamanya golongan belia yang berisiko tinggi.

Sejak diperkenalkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 2005, WDoR disambut bagi memperingati mangsa kemalangan dan menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan seperti penyelamat, penguat kuasa dan petugas perubatan. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan