BELANJAWAN 2025 > BERITA

China Gesa ASEAN Tumpu Sektor Pembuatan Bagi Tingkat Daya Saing Di Peringkat Global

15/11/2025 10:35 PM

Daripada Nor Fariza Mohd Razhi

BEIJING, 15 Nov (Bernama) -- Negara-negara ASEAN perlu memberi lebih perhatian kepada industri pembuatan bagi meningkatkan daya saing dalam pasaran global, kata Pengarah Seksyen Penyelidikan dan Pengajaran Ekonomi Perindustrian China, Xu Jie. 

Xu yang juga Profesor di Jabatan Ekonomi Sekolah Pusat Parti CPC (Akademi Tadbir Urus China) berkata pembinaan sektor pembuatan yang komprehensif dan kukuh akan menyediakan lebih banyak sumber bukan sahaja untuk meningkatkan mata pencarian orang ramai tetapi juga melabur dalam sains dan teknologi serta menaik taraf industri tradisional. 

“Apabila negara kita menjadi kaya, kita akan mempunyai lebih banyak dana untuk melabur dalam inovasi teknologi dan mewujudkan kitaran pembangunan yang positif.

“Saya percaya ia merupakan asas bagi pembangunan ekonomi dan sosial,” kata Xu pada seminarnya yang bertajuk ‘Mempercepatkan Kemandirian Sains-Teknologi dan Pengukuhan Diri pada Peringkat yang Lebih Tinggi’.

Berkongsi mengenai kemajuan China dalam inovasi kecerdasan buatan (AI) dan robotik, Xu berkata negara itu telah menubuhkan makmal kebangsaan yang dikhaskan untuk penyelidikan AI. 

“Kami sedang mengumpulkan saintis terbaik dan membuat pelaburan yang besar ke dalam penyelidikan asas AI.

“Kami juga sedang bekerjasama dengan syarikat-syarikat supaya penyelidikan mereka dapat dipindahkan dengan segera dan diubah menjadi perkhidmatan serta produk sebenar,” katanya. 

Beliau berkata apabila China mula melaksanakan pembaharuannya pada 1978, inovasi teknologinya menjadi pendorong kepada pembangunan ekonomi.

“Menerusi teknologi, kami membina dan memperkukuhkan industri pembuatan kita.

“Sekiranya, saya ingin menawarkan nasihat kepada negara-negara ASEAN, saya secara peribadi percaya bahawa pembuatan adalah sangat penting,” katanya. 

Menurut Xu, pelaksanaan inovasi sains dan teknologi dalam ASEAN memerlukan kerjasama antara kerajaan, industri dan perusahaan. 

“Kami memerlukan semua pihak untuk memainkan peranan masing-masing. Kerajaan perlu menyokong penyelidikan asas dan melabur di universiti bagi memupuk bakat.

“Dengan menyediakan lebih banyak sokong kewangan kepada universiti, mereka boleh mengeluarkan lebih banyak pakar sains dan teknologi.

“Perusahaan, yang berada secara langsung dalam pasaran, mengetahui mengenai teknologi dan produk yang mendapat permintaan,” katanya. 

Xu juga menyatakan bahawa saintis yang bekerja di universiti dan institut penyelidikan kini dikehendaki menyumbang kembali sebahagian besar keuntungan kewangan daripada penyelidikan mereka kepada institusi masing-masing. 

Sementara itu, seramai 25 delegasi terdiri daripada pegawai, penyelidik dan wakil media dari enam negara ASEAN iaitu Malaysia, Thailand, Filipina, Myanmar, Indonesia dan Brunei kini sedang dalam rangka lawatan ke China bermula 12-19 Nov, 2025. 

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan