BELANJAWAN 2025 > BERITA

Mangsa Kebakaran Kampung Petagas Terharu, PM Anwar Turun Padang Sampaikan Bantuan

15/11/2025 09:25 PM

KOTA KINABALU, 15 Nov (Bernama) -- Mangsa kebakaran di Kampung Petagas hari ini bersyukur dan terharu atas kesudian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim turun padang untuk menyampaikan sendiri bantuan awal, susulan insiden yang memusnahkan kediaman mereka, semalam.

Khairul Zulfadli Patin, 38, yang bekerja sebagai mekanik berkata bantuan itu dapat memberi kelegaaan kerana meringankan beban dan membantu mereka dalam meneruskan urusan harian.

"Terima kasih kepada Perdana Menteri kerana memberi bantuan dengan pantas. Alhamdulillah, bantuan ini dapat membantu meringankan beban," katanya kepada Bernama.

Khairul Zulfadli dan isteri bersama anak mereka, merupakan antara mangsa kebakaran yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Kebangsaan Petagas, sejak semalam.

Beliau berkata bantuan wang tunai diterimanya itu akan digunakan untuk mencari rumah sewa.

Dalam pada itu, Khairul Zulfadli berkata ketika kejadian yang memusnahkan tiga buah rumah awal pagi semalam, dia bersama keluarga tiada di rumah.

"Semua barang tidak dapat diselamatkan, rumah musnah terbakar," katanya.

Terdahulu, Perdana Menteri meluangkan masa bertemu dengan mangsa sambil meninjau lokasi kebakaran itu, selain turut mendengar taklimat daripada pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berhubung insiden berkenaan.

Sementara itu, Perdana Menteri menerusi catatan di Facebook beliau berkata dalam sela-sela lawatan ke Kota Kinabalu, beliau sempat menziarahi penduduk Kampung Petagas yang ditimpa musibah kebakaran itu serta mengarahkan bantuan segera disalurkan.

“Saya turut melawat penduduk di Kampung Duvanson, Putatan yang berdepan masalah kesihatan. Semoga mereka diberi ketabahan dan kekuatan menghadapi ujian ini,” kata beliau. 

Anwar berkata kerajaan akan terus memastikan kebajikan rakyat di Sabah terpelihara, malah hal itu dibuktikan melalui peruntukan pembangunan untuk Sabah di bawah Belanjawan 2026, meningkat kepada hampir RM17 bilion, tertinggi berbanding negeri lain.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan