BELANJAWAN 2025 > BERITA

PRN Sabah: Bung Moktar Susun Strategi Bergerak Dalam Kumpulan Kecil

15/11/2025 08:28 PM

KINABATANGAN, 15 Nov (Bernama) -- Pengerusi Barisan Nasional (BN) Sabah Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata pasukan kempennya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 akan bergerak dalam kelompok kecil bagi memastikan mesej sampai terus kepada pengundi.

Bung Moktar yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Lamag berkata strategi kumpulan kecil lebih berkesan untuk memastikan setiap isu dapat diterangkan dengan jelas dan diterima baik oleh masyarakat setempat.

“Kita sudah susun jentera di pusat daerah mengundi (PDM), kita akan susun strategi kumpulan yang kecil supaya sasarannya sampai.

“Program-program besar mungkin sekali-sekala (diadakan) khususnya perhimpunan yang melibatkan 1,500 hingga 2,000 anak muda di Kinabatangan,” katanya selepas pelancaran Pusat Command Centre di sini hari ini.

Mengenai pertandingan enam penjuru di DUN Lamag, Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata walaupun ia dianggap persaingan antara saudara, beliau sedia berdepan dengan semua calon yang bertanding demi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan berkenaan.

Mengulas tentang kepentingan kerjasama kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan, Bung Moktar berkata ia penting bagi menjamin pembangunan dan seterusnya membolehkan tuntutan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dapat dirunding dengan baik.

Pada PRN kali ini, Bung Moktar berdepan dengan saingan daripada Johainizamshah Johari (GRS), Salahuddin @Saalahuddin Anoi (Parti Impian Sabah - PIS), Mohd Saifulah Lokman (Warisan), Mohd Ismail Ayob (Bebas) dan Mazlin Madali (PN).

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian pada 29 Nov manakala pengundian awal pada 25 Nov.

Untuk berita terkini PRN Sabah ke-17, layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan