BELANJAWAN 2025 > BERITA

PRN Sabah: Calon PH Ruji Ubi Mahu Berbakti, Bangunkan DUN Merotai

15/11/2025 05:06 PM

TAWAU, 15 Nov (Bernama) -- Bekas Ketua Setiausaha Kementerian Perpaduan Datuk Ruji Ubi, yang juga calon Pakatan Harapan (PH), berhasrat memanfaatkan pengalaman dan pengetahuannya untuk membangunkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Merotai.

Beliau memiliki misi dan visi yang jelas untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-17.

"Kenapa bersara awal dan kenapa kembali ke kampung... ini disebabkan saya ingin mencurah pengalaman dan juga pengetahuan saya dalam bidang pembangunan, pengurusan sumber manusia selain pentadbiran dalam konteks Negeri Sabah untuk masa-masa yang akan datang.

"Saya sudah balik ke kampung halaman tempat saya dibesarkan, inilah kampung saya dan saya mendoakan semoga penduduk Merotai terbuka hati untuk memilih saya untuk saya berkhidmat," katanya kepada pemberita di pusat penamaan calon Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan Cina Yuk Cin di sini hari ini.

Ruji berkata pengundi boleh melihat rekod prestasinya sebelum ini yang pernah menyandang jawatan tertinggi sebagai Ketua Setiausaha di Kementerian Pendidikan, Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Perpaduan.

"Selain (menjadi Pengarah Pembangunan Negeri Sabah di) satu pusat agensi, ini mungkin boleh menjadi panduan kepada para pengundi untuk mengundi saya, ada kata saya baru turun padang tetapi sebenarnya semasa menjadi pegawai kerajaan, saya kerap turun ke seluruh negara temasuk di Merotai, Kalabakan dan Tawau," katanya.

Selepas menyerahkan borang pencalonannya hari ini, beliau akan bertemu dengan jentera parti malam ini termasuk sesi bersama Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat) Tan Sri Liew Yun Fah.

"Alhamdulillah, Harapan Rakyat pun bersama kita, Gabungan Rakyat Sabah pun bersama kita, demikian juga parti dalam Kerajaan Perpaduan akan bersama kita.

"Saya sudah berjumpa pemimpin-pemimpin parti ini dan mereka memberikan komitmen untuk bersama-sama kita dalam menghadapi pilihan raya kali ini," katanya.

Sementara itu, calon Parti Warisan Sabah (Warisan) yang juga penyandang DUN Merotai Sarifuddin Hata berkata rakyat sudah melihat perkara yang dilakukan pihaknya di lapangan meskipun menjadi pembangkang selama lima tahun.

"Saya melihat sekarang pertemuan antara parti tempatan dengan parti nasional... kalau kita lihat, gelombang menyokong parti tempatan ini sangat kuat di bawah, di akar umbi... mereka ingin melihat Sabah ini seperti macam Sarawak, ditadbir sendiri oleh parti tempatan," katanya.

Persaingan di DUN Merotai pada PRN Sabah ke-17 juga menyaksikan penyertaan calon Perikatan Nasional Hasan Haris dan Rhyme @ Reymie Bin Kassim daripada Parti Impian Sabah.

Sebanyak 73 kerusi DUN dipertandingkan pada PRN kali ini dan tarikh pengundian awal ditetapkan pada 25 Nov manakala 29 Nov sebagai hari mengundi.

Untuk berita-berita terkini tentang PRN Sabah ke-17, sila layari https://prn.bernama.com/sabah/index.php

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan