BELANJAWAN 2025 > BERITA

Graduan UniSIRAJ Perlu Gunakan Ilmu Dan Teknologi AI Dengan Etika Serta Nilai Islam - Raja Muda Perlis

15/11/2025 05:17 PM

KANGAR, 15 Nov (Bernama) -- Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah graduan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Syed Sirajuddin (UniSIRAJ) perlu menggunakan ilmu dan teknologi kecerdasan buatan (AI), automasi dan teknologi disruptif dengan berlandaskan etika serta nilai Islam.

Baginda yang juga Canselor UniSIRAJ bertitah AI yang berasaskan al-Quran dan sunah mesti dipandu oleh akhlak, tanggungjawab serta maqasid syariah supaya membawa manfaat kepada ummah, bukan sebaliknya.

“Hari ini bukanlah penamat, tetapi permulaan sebuah perjalanan baharu dalam dunia yang berubah begitu pantas dengan kemunculan AI, automasi dan teknologi disruptif,” titah baginda semasa mengisytiharkan penangguhan Istiadat Konvokesyen Kali Ke-8 UniSIRAJ di sini hari ini.

Selain itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra bertitah arah tuju UniSIRAJ akan terus berpaksikan wahyu Ilahi dan sunnah Rasulullah SAW kerana ia asas kekuatan universiti dalam melahirkan graduan berilmu, berakhlak dan berjiwa pemimpin selaras dengan aspirasi menjadi universiti Islam berwibawa di persada antarabangsa.

Baginda bertitah dengan hala tuju yang jelas, UniSIRAJ digerakkan sebagai universiti Islam bertaraf global yang mengintegrasikan ilmu, penyelidikan dan inovasi dengan nilai keinsanan serta ketamadunan yang bukan sekadar institusi pendidikan tetapi juga peneraju wacana pemikiran Islam kontemporari dalam membimbing masyarakat ke arah kesejahteraan sejagat.

“Kini, UniSIRAJ melangkah ke fasa pembaharuan strategik dengan memperkukuh bidang akademik dan penyelidikan, memperluas jaringan industri serta pengantarabangsaan dan memperkasakan pendidikan Islam berasaskan nilai-nilai yang dihayati dan diamalkan,” titah baginda.

Konvokesyen sehari itu melibatkan 361 graduan menerima diploma dan ijazah, sekali gus menjadi kumpulan pertama bergraduasi di bawah nama UniSIRAJ selepas pemasyhuran universiti itu disempurnakan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada Khamis lepas.

Sebanyak 207 graduan menerima Ijazah Sarjana Muda, masing-masing seorang bagi Sarjana dan Doktor Falsafah manakala Diploma melibatkan 152 graduan.

Terdahulu, Raja Muda Perlis berkenan mengurniakan Anugerah Canselor (Martabat Al-Syaraf Al-Ula) kepada Muhaimin Abdul Hamit, 23, graduan Ijazah Sarjana Muda Bahasa al-Quran dan Sunnah atas pencapaian akademik cemerlang iaitu Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 3.84 selain mempunyai penglibatan kokurikulum memberangsangkan.

Muhaimin menerima tajaan menunaikan umrah berserta sumbangan RM3,000 selain surat tawaran kerja sebagai eksekutif daripada sebuah bank.

UniSIRAJ dikenali sebagai Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) sebelum dinaik taraf menjadi universiti, dengan Bernama pada 23 Nov 2024 melaporkan Raja Muda Perlis yang juga Canselor KUIPs bertitah Jabatan Pendidikan Tinggi melalui surat bertarikh 15 Nov tahun sama telah meluluskan pendaftaran KUIPs untuk dinaik taraf sebagai universiti.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan