KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Inisiatif Pembangunan Kluster Perindustrian Wilayah Tengah dijangka memperkukuh ekosistem negara dengan memperdalam rantaian bekalan dan memberi sokongan langsung terhadap pengembangan perusahaan tempatan.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata ini berikutan Wilayah Tengah ini sudah mempunyai jaringan pembekal, logistik, makmal pengujian, institusi pengajian tinggi serta rakan inovasi.
Wilayah Tengah itu merangkumi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka.
"Sehubungan itu, tugas kita adalah untuk menghubungkan aset-aset ini, mengatasi jurang utama serta menumpukan sokongan awam bagi impak yang jelas.
“Masa depan perindustrian Malaysia tidak akan dibentuk oleh kejayaan terpencil, sebaliknya bagaimana kita dapat menghubungkan kekuatan-kekuatan ini merentasi sektor dan negeri-negeri...Wilayah Tengah ini mesti berperanan sebagai ekosistem pengeluaran yang lancar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada majlis perasmian Seminar Pelaburan Utama: Inisiatif Pembangunan Kluster Perindustrian Wilayah Tengah di sini, hari ini.
Tengku Zafrul berkata inisiatif itu akan dimulakan dengan tiga sektor yang merupakan kekuatan Malaysia serta mampu berkembang di Wilayah Tengah seperti elektrikal dan elektronik (E&E) yang menjadi tonggak perindustrian negara serta gerbang bagi pembuatan maju.
Selain itu, tumpuan turut diberikan terhadap produk farmaseutikal dan perubatan, pengeluaran makanan serta ekonomi halal.
Wilayah Tengah itu, kata beliau, dapat menjadi peneraju dalam sektor ekonomi halal, makanan khusus serta produk sedia dieksport.
“Koridor Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA)-Subang-Serendah adalah contoh bagaimana konsep pengelompokan itu dapat berfungsi. KLIA menumpukan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), Subang pula fokus terhadap pembuatan dan latihan aeroangkasa manakala Serendah membekalkan komponen berketepatan tinggi.
“Dalam lingkungan 50 kilometer, komponen ini dapat digerakkan secara pantas, modal insan atau bakat dapat berkembang berdekatan dan idea pula tersebar dengan cepat, sekali gus memendekkan tempoh siap, mengurangkan risiko serta meningkatkan produktiviti,” katanya.
Tengku Zafrul berkata wilayah itu juga mengetengahkan bagaimana tiga rangka kerja utama dapat disepadukan iaitu Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030, Strategi Pelaburan Hijau (GIS) dan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS).
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial