BUKIT MERTAJAM, 9 Nov (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan akan menaik taraf Stesen Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Butterworth dengan peruntukan RM30 juta bagi menjadikan Penang Sentral hab pengangkutan utama di Seberang Perai.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kontraktor akan dilantik bulan depan bagi projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) Rolling Plan Kelima (RP5) itu dan akan dimulakan dalam masa terdekat.
Beliau berkata stesen berkenaan penting kerana ia mengintegrasikan perkhidmatan KTM, kereta api elektrik (ETS) dan komuter dengan feri Pulau Pinang serta Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara di Penang Sentral.
“Ketiga-tiga mod pengangkutan itu akan diintegrasikan dan menjadikan Penang Sentral sebagai pusat hab pengangkutan awam di Seberang Perai dan ini merupakan satu konsep Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu yang menghubungkan pelbagai mod dalam satu tempat.
“Jadi, pembangunan bukan sahaja bertumpu di pulau, pembangunannya seimbang antara pulau dengan Seberang Perai, ini sudah tentu akan menjadikan kawasan itu sebagai satu kawasan tumpuan dan kita yakin ia akan menjadi nadi pembangunan kepada kawasan sekeliling ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Tahunan Negeri DAP Pulau Pinang 2025 di sini hari ini.
Selain memperbesar Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP), Loke memaklumkan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) bersama kerajaan negeri juga akan melaksanakan projek pembesaran terminal kargo udara di Bayan Lepas.
Beliau berkata MAHB bersama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) bakal membangunkan satu tapak logistik yang lebih besar di Batu Maung untuk pemain logistik antarabangsa memperluas operasi mereka.
“Ini akan melipatgandakan kapasiti kargo udara daripada tiga tempat letak kapal terbang menjadi enam tapak letak kapal terbang,” katanya.
Mengenai LRT Laluan Mutiara, Loke berkata projek berskala besar itu menelan kos kira-kira RM16 bilion kerana jajarannya dihubungkan sehingga ke Seberang Perai seperti dililhamkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata LRT Laluan Mutiara, pembesaran LTAPP dan terminal kargo udara serta naik taraf stesen KTM Butterworth akan menjadi nadi pembangunan Pulau Pinang untuk memastikan negeri itu kekal sebagai pusat perindustrian dan pembangunan sektor elektrik dan elektronik serta semikonduktor, bukan sahaja di Malaysia malah di rantau Asia Pasifik.
Laluan Mutiara merupakan laluan LRT pertama di luar Lembah Klang sepanjang 29.5 kilometer dengan 21 stesen.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial