BELANJAWAN 2025 > BERITA

20,000 Pengunjung Dijangka Meriahkan Festival Newor@KBT 2025

09/11/2025 01:07 AM

KUALA TERENGGANU, 8 Nov (Bernama) -- Kira-kira 20,000 pengunjung dijangka memeriahkan Festival Newor@Kampung Budaya Terengganu (KBT) 2025 yang diadakan selama tiga hari bermula pada hari ini.

Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu Hilman Hajijan berkata festival anjuran Terrapuri Heritage Village (Palms Garden Beach Resort) dengan sokongan serta kerjasama pihaknya, Kampung Budaya Terengganu dan Tourism Malaysia itu diadakan bagi mendekatkan masyarakat dengan pelbagai produk seni budaya tempatan yang ada sebahagiannya semakin dilupakan.

“Festival ini menyatukan pemain industri pelancongan dan seni budaya yang mengutarakan produk-produk tempatan seperti batik, makanan tradisional dan kraf tangan. 

“Selain itu, pengunjung juga berpeluang merasai pengalaman bermain pelbagai permainan tradisional seperti melalui pertandingan gasing dan belajar mengenai seni pertahanan diri, iaitu silat dan lain-lain lagi,” katanya kepada pemberita selepas perasmian Festival Newor@KBT 2025 di Kampung Budaya Terengganu, di sini hari ini.

Turur hadir, Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Terengganu Zubariah Abdullah dan Pengarah Urusan Terrapuri Heritage Village (Palms Garden Beach Resort) Alex Lee Yun Ping.

Sambil menjelaskan "newor" merupakan dialek Terengganu yang bermaksud bersiar-siar atau berjalan-jalan, Hilman berkata festival berkenaan bukan sahaja boleh membuka mata atau mendidik golongan muda tentang warisan tempatan, tetapi juga merupakan platform untuk menonjolkan Terengganu sebagai destinasi warisan serta ekopelancongan yang unggul menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Festival Newor@KBT yang telah memasuki tahun ketiga penganjurannya ini juga menjadi simulasi atau persediaan kami dalam menjayakan kempen Tahun Melawat Terengganu 2027 nanti.

“Kalau lihat pada hari pertama penganjurannya hari ini, sambutan yang diterima sangat menggalakkan. Sehubungan dengan itu, kita menjemput seluruh masyarakat sama ada dari dalam atau luar Terengganu untuk memeriahkan lagi festival ini kerana pelbagai aktiviti menarik disediakan buat mereka,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan