KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Satu kebakaran hutan dilaporkan berlaku di kawasan berbukit di Taman Seri Timah, Balakong dekat sini hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kejadian itu pada 7.02 malam.
Beliau berkata pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bandar Tun Hussein Onn dengan kekuatan 14 anggota digerakkan ke lokasi dan tiba pada 7.25 malam.
Menurut Ahmad Mukhlis, kebakaran melibatkan kawasan hutan di atas bukit dengan anggaran keluasan kira-kira 1.2 hektar.
“Tiga jentera digunakan dalam operasi iaitu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT), Light Fire Rescue Tender (LFRT) dan satu unit Pasukan Perkhidmatan Penyelamatan Perawatan Kecemasan (EMRS).
“Operasi turut dibantu anggota dari BBP Seri Kembangan serta dua pasukan bomba sukarela (PBS) iaitu PBS Balakong dan PBS Serdang,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.
Beliau berkata tiada mangsa dilaporkan terlibat dalam kejadian itu dan usaha pemadaman masih diteruskan di lokasi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial