BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kerajaan Tiada Hasrat Laksana Dasar Pengasingan Peruntukan Kebajikan, Prasarana Desa

06/11/2025 03:20 PM

KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Kerajaan tidak bercadang untuk melaksanakan dasar pengasingan (ringfencing) peruntukan dengan menetapkan satu paras minimum yang dilindungi bagi program kebajikan dan infrastruktur di desa seperti jalan raya, klinik dan hospital.

Timbalan Menteri Kewangan Lim Hui Ying berkata perkara itu tidak ditetapkan secara khusus memandangkan pendekatan kerajaan adalah peruntukan berdasarkan keperluan serta keutamaan semasa termasuk melibatkan tahap kemudahan asas dan keperluan sosial ekonomi sebuah kawasan.

“Pendekatan ini membolehkan sumber negara diagih dengan lebih saksama dan responsif terhadap keperluan sebenar rakyat di seluruh negara," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Ahmad Tarmizi Sulaiman (PN-Sik) mengenai persediaan kerajaan untuk melaksanakan dasar “ringfencing” bagi program kebajikan dan infrastruktur di desa supaya langkah pengurangan defisit tidak menambah jurang pembangunan bandar dan desa.

Pada masa sama, Lim berkata Kementerian Kewangan dan agensi berkaitan sentiasa diberi panduan untuk memastikan projek dan program luar bandar seperti bekalan air bersih, jalan ladang, kemudahan kesihatan serta bantuan sara hidup nelayan serta petani terus diutamakan dalam had kemampuan fiskal negara.

Pendekatan itu mencerminkan komitmen kerajaan untuk mengekalkan keseimbangan dan tanggungjawab fiskal serta pembangunan inklusif  supaya tiada kawasan atau golongan yang tertinggal dalam arus kemajuan negara, katanya.

Beliau berkata kerajaan kekal yakin untuk mencapai defisit fiskal 3.8 peratus pada 2025 menerusi inisiatif pembaharuan fiskal termasuk Strategi Hasil Jangka Sederhana (MTRS) bagi menambah baik kutipan hasil dan semakan perbelanjaan awam untuk memastikan kecekapan dan keberkesanan perbelanjaan. 

Bagi mengoptimumkan perbelanjaan awam, kerajaan melaksanakan penyasaran subsidi diesel dan RON95 serta langkah rasionalisasi badan berkanun, di samping melakukan semakan terhadap perbelanjaan kerajaan secara menyeluruh merentas semua kementerian dan agensi, katanya.

“Ini membolehkan kerajaan menguruskan kewangan dengan lebih optimum melalui pertukaran sumber dalam peruntukan Belanjawan.

"Ini juga melibatkan pertimbangan teliti antara program baharu berpotensi tinggi dengan program sedia ada yang mungkin tidak lagi relevan atau kurang berkesan bagi memastikan setiap peruntukan memberikan nilai optimum dan selaras dengan keutamaan agenda pembangunan negara,” katanya menjawab soalan tambahan Syahredzan Johan (PN-Bangi).

Syahredzan bertanya mengenai langkah kerajaan untuk mencapai defisit fiskal pada 3.8 peratus tahun ini tanpa menjejaskan kebajikan rakyat dan perbelanjaan sosioekonomi.

Lim berkata bagaimanapun, matlamat dasar fiskal tetap menyokong dan responsif dalam menyediakan sokongan fiskal yang mencukupi untuk melindungi kesejahteraan rakyat dan meneruskan agenda pembaharuan ekonomi tanpa menjejaskan trajektori pengukuhan fiskal.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan