KUALA LUMPUR, 6 Nov (Bernama) -- Usaha memperkasa bakat dalam bidang teknologi baharu muncul (emerging technologies) seperti kecerdasan buatan (AI) dan robotik, antara perkara dibincangkan pada mesyuarat Dewan Rakyat hari ini.
Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Datuk Larry Soon (PBM-Julau) bertanyakan mengenai langkah serta usaha bagi membolehkan bakat dalam bidang itu diperkasakan supaya mereka diiktiraf setaraf golongan profesional lain seperti jurutera dan doktor.
Beliau mengajukan soalan itu kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sejurus sidang Dewan Rakyat bermula pada 10 pagi.
Pada sesi sama, Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan) bertanyakan Perdana Menteri berhubung strategi dan pelan tindakan kerajaan bagi menjadikan penganjuran Borneo Arts Festival (BAF) diiktiraf sebagai antara program kluster pelancongan Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur-Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA), serta pulangan ekonomi dan manfaat jangka panjang kepada komuniti setempat di Labuan.
Turut menarik perhatian, soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN-Dungun) kepada Menteri Komunikasi mengenai keberkesanan program seperti Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang dalam meningkatkan semangat cinta negara dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama pada sesi soal jawab lisan.
Usai sesi soal jawab, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa.
Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial