BELANJAWAN 2025 > BERITA

Malaysia Sasar Kedudukan 20 Terbaik Dunia Indeks Inovasi Global

05/11/2025 06:11 PM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Kerajaan bersetuju melaksanakan langkah strategik bagi menempatkan Malaysia dalam kalangan 20 negara terbaik dunia dalam Indeks Inovasi Global (GII) menerusi tadbir urus dan pemantauan rentas agensi yang lebih berkesan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu antara yang dipersetujui dalam Mesyuarat Majlis Sains Negara yang dipengerusikan beliau pagi tadi.

“Saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Sains Negara pagi tadi, yang menumpukan kepada usaha melonjakkan kedudukan Malaysia dalam GII, penanda aras penting bagi menilai tahap inovasi dan daya saing negara di peringkat dunia.

“Indeks ini menjadi panduan kepada kerajaan, industri dan pembuat dasar dalam merangka keputusan strategik untuk memastikan Malaysia muncul sebagai negara berteknologi tinggi yang berteraskan nilai MADANI menjelang 2030,” katanya dalam hantaran di Facebook. 

Menurut Anwar, mesyuarat itu turut meneliti penambahbaikan dalam pembiayaan dana Sains, Teknologi dan Inovasi (STI) agar penyampaian lebih cekap dan berimpak tinggi.

Beliau berkata kerjasama awam-swasta dikenal pasti sebagai pemangkin utama selaras dengan Dasar STI Negara 2021-2030 yang berhasrat mengubah Malaysia menjadi negara pembangun teknologi.

Anwar turut menekankan keperluan menyelaras agenda penyelidikan dan pembangunan (R&D) yang berorientasikan misi agar tidak bergerak secara bersendirian, supaya setiap inovasi benar-benar membawa manfaat kepada rakyat dan membentuk masa depan negara yang lebih unggul.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan