BELANJAWAN 2025 > BERITA

OPR Kekal Pada 2.75 Peratus Dorong Jangkaan Lebih Baik Bagi Kos Pinjaman - Ahli Ekonomi

05/11/2025 04:55 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Langkah mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 2.75 peratus akan mendorong jangkaan yang lebih baik terhadap kos pinjaman di samping membolehkan rakyat Malaysia merancang perbelanjaan modal dan pembelian aset dengan lebih yakin, kata ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) esok dijangka mengekalkan OPR pada paras 2.75 peratus.

Beliau berkata keputusan itu berkemungkinan dibuat berdasarkan andaian bahawa ekonomi Malaysia  terus berkembang pada kadar yang baik bagi suku ketiga 2025, meningkat 5.2 peratus, jauh melebihi pertumbuhan 4.4 peratus yang dicatatkan pada separuh pertama tahun ini.

“Selain itu, pasaran buruh kekal berada pada tahap guna tenaga penuh, dengan kadar pengangguran kekal stabil pada 3.0 peratus selama beberapa bulan. Ini menunjukkan lebih ramai rakyat Malaysia mempunyai pekerjaan dan memperoleh pendapatan yang baik,” katanya kepada Bernama.

Mohd Afzanizam berkata semua faktor itu akan menyokong perbelanjaan pengguna selain didorong oleh program pemindahan tunai seperti Sumbangan Tunai Rahmah dan Sumbangan Asas Rahmah, yang melengkapkan kekukuhan ekonomi Malaysia.

“Lebih penting, BNM akan dapat mengekalkan ruang dasar untuk bertindak sekiranya berlaku sebarang kejutan ekonomi dalam masa terdekat,” katanya.

MPC BNM dijadualkan mengumumkan keputusan mengenai OPR esok.

Perubahan terkini terhadap OPR melibatkan penurunan kepada 2.75 peratus yang diumumkan pada 9 Julai, 2025.

Sebelum itu, kadar tersebut dikekalkan pada paras 3.00 peratus sejak 3 Mei, 2023.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan