BELANJAWAN 2025 > BERITA

Harga Tiket Penerbangan Ke Sabah, Kesesakan Jalan Di Johor Tumpuan Dewan Rakyat Hari Ini

05/11/2025 08:39 AM

KUALA LUMPUR, 5 Nov (Bernama) -- Harga tiket penerbangan ke Sabah pada musim perayaan dan isu jalan utama di Johor yang semakin sesak, antara perkara dibangkitkan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Aturan Urusan Mesyuarat di laman rasmi Parlimen, Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) bertanyakan Menteri Pengangkutan berhubung purata kos tiket penerbangan sehala dari Kuala Lumpur ke Tawau, Sandakan dan Kota Kinabalu, Sabah pada musim perayaan sekiranya program harga maksimum RM499 tidak dilaksanakan kerajaan.

Beliau juga ingin tahu sama ada kementerian bercadang untuk mewajibkan syarikat penerbangan memaklumkan kepada pembeli jumlah subsidi tiket penerbangan yang diberikan pada sesi soal jawab lisan.

Pada sesi sama, Muhammad Islahuddin Abas (PN-Mersing) meminta Menteri Kerja Raya menyatakan kesediaan kementerian untuk menaik taraf lebuh raya dan jalan utama di Johor yang semakin sesak akibat pertambahan kenderaan serta pembangunan pesat di Iskandar Malaysia khususnya dalam menghadapi pelaksanaan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

Turut menarik perhatian, soalan Oscar Ling Chai Yew (PH-Sibu) kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri berhubung jumlah projek pusat data yang diluluskan, unjuran penggunaan elektrik dan air serta strategi kerajaan mengimbangi pelaburan kecerdasan buatan (AI) dengan keselamatan sumber negara.

Usai sesi soal jawab, mesyuarat Dewan Rakyat diteruskan dengan perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2026 di peringkat jawatankuasa. 

Mesyuarat Ketiga Penggal Keempat Parlimen ke-15 Dewan Rakyat berlangsung selama 35 hari hingga 4 Dis ini. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan