KUALA LUMPUR, 4 Nov (Bernama) -- Acara akuatik (terjun), badminton, berbasikal (trek), memanah, skuasy, karate dan wushu dikenal pasti sebagai antara sukan yang berpotensi menyumbang pingat pada temasya Sukan Asia tahun depan.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli Abdul Halim berkata bagi Sukan Komanwel 2026 pula, sukan berpotensi meraih pingat ialah angkat berat, boling padang, para olahraga, para lawn bowls dan para powerlifting.
Beliau berkata kementerian, melalui Majlis Sukan Negara (MSN), telah melaksanakan projek khas ASIAKOM tahun ini bagi mempersiapkan atlet menghadapi Sukan Asia 2026 di Nagoya dan Sukan Komanwel 2026 di Glasgow.
“Projek ini memberi tumpuan kepada 39 atlet daripada sembilan jenis sukan, merangkumi aspek latihan, pendedahan pertandingan, pengurusan kejurulatihan, kem binaan, sokongan serta sains dan perubatan sukan.
“Jumlah jenis sukan akan disesuaikan berdasarkan prestasi atlet negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.
Adam Adli menjawab soalan Datuk Abdul Khalib Abdullah (PN-Rompin) mengenai strategi kementerian memupuk bakat sukan di peringkat akar umbi serta status terkini dan unjuran pencapaian Malaysia dalam Sukan Olimpik dan Sukan Asia akan datang.
Beliau berkata beberapa pencapaian luar biasa atlet negara masa kini mengukuhkan keyakinan bahawa Malaysia berada di landasan tepat untuk mencipta sejarah meraih pingat emas pertama pada Sukan Olimpik 2028.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial