BELANJAWAN 2025 > BERITA

Dagangan Sekuriti Destini Berisiko Digantung Jika Terus Gagal Kemuka Laporan Tahunan

03/11/2025 09:08 PM

KUALA LUMPUR, Nov 3 (Bernama) -- Destini Bhd berdepan kemungkinan dagangan sekuritinya digantung selepas gagal mengemukakan laporan tahunan, termasuk penyata kewangan beraudit dan laporan pengarah dan juruaudit bagi tempoh kewangan berakhir 30 Jun 2025 dalam tempoh masa yang ditetapkan.

Menurut Bursa Malaysia, laporan berkenaan yang sepatutnya dikemukakan pada 31 Okt 2025 di bawah Perenggan 9.23(1) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama, masih belum dikeluarkan untuk pendedahan umum.

“Sekiranya Destini tidak dapat mengemukakan Laporan Tahunan 2025 yang belum selesai itu pada atau sebelum 7 Nov 2025, dagangan sekuriti syarikat akan digantung bermula 9 pagi Isnin, 10 Nov 2025 sehingga notis selanjutnya dikeluarkan,” katanya pada Isnin.

Di bawah Perenggan 9.28(6) peraturan penyenaraian, sekiranya penyata kewangan masih belum dikemukakan selepas enam bulan daripada tarikh akhir, prosedur penyahsenaraian boleh dimulakan terhadap syarikat berkenaan.

Sementara itu, dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Destini berkata laporan tahunan itu kini berada di peringkat akhir penyediaan, dan syarikat berkenaan dalam proses untuk menyelesaikan prosedur pentadbiran serta penyusunan akhir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan