BELANJAWAN 2025 > BERITA

Kapal Selam Autonomi Buatan Tempatan Indonesia Jalani Ujian Tembakan Torpedo

31/10/2025 11:00 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 31 Okt (Bernama) -- Indonesia dilaporkan telah menjalankan ujian tembakan torpedo kapal selam autonomi pertamanya, dikenali sebagai Kapal Selam Otonom (KSOT), pada Khamis, sekali gus menandakan satu tonggak penting dalam pembangunan teknologi pertahanan laut negara itu.

Ujian yang diadakan di Markas Pemerintah Armada II, Surabaya, Jawa Timur, disaksikan oleh Menteri Pertahanan Indonesia, Sjafrie Sjamsoeddin, dan turut dipantau secara dalam talian oleh Presiden Prabowo Subianto dari Jakarta, menurut kenyataan Kementerian Pertahanan Indonesia.

KSOT, yang dibangunkan syarikat pembinaan kapal milik kerajaan, PT PAL Indonesia, direka untuk menyediakan penyelesaian yang pantas, efisien dan berkesan dalam memperkukuh keupayaan tempur maritim, selain menjadi pelengkap kepada armada kapal selam konvensional sedia ada.

“Tentera Nasional Indonesia Angkatan Laut (TNI AL) dan PT PAL Indonesia akan terus melaksanakan penilaian bagi menambah baik prestasinya agar dapat memberikan manfaat yang lebih besar,” kata Sjafrie.

Beliau berkata Indonesia kini menjadi negara keempat selepas Amerika Syarikat, Rusia dan China yang berjaya membangunkan kapal selam autonomi, hasil reka bentuk sepenuhnya oleh anak tempatan.

Prototaip KSOT diperkenalkan kepada umum semasa sambutan Hari Ulang Tahun TNI ke-80 di Jakarta Pusat pada 5 Okt lepas.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan