BELANJAWAN 2025 > BERITA

Jambatan Bagan Datuk-Kampung Sejagop Diiktiraf Projek Terbaik Asia-Pasifik

31/10/2025 06:59 PM

KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Projek pembinaan Jambatan Bagan Datuk, yang menghubungkan daerah Hilir Perak ke Kampung Sejagop di Perak Tengah, meraih tempat kedua bagi kategori Jalan untuk Komuniti pada Anugerah Projek Terbaik MINO sempena Persidangan Ke-17 Persatuan Kejuruteraan Jalan Asia dan Australasia (REAAA) di Goyang, Korea Selatan. 

Kementerian Kerja Raya (KKR) dalam kenyataan memaklumkan anugerah berprestij itu disampaikan pada majlis kemuncak persidangan REAAA yang diadakan dari 27 Okt hingga 1 Nov bagi mengiktiraf projek infrastruktur jalan raya yang memberi impak besar kepada komuniti dari aspek teknikal, sosial dan ekonomi.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menerima anugerah berkenaan yang disampaikan oleh Presiden REAAA Dr Sung-Hwan Kim pada majlis penutup persidangan yang berlangsung di Korea International Exhibition Center (KINTEX) hari ini. 

Menurut KKR, projek yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) di bawah seliaan kementerian itu berjaya menghubungkan dua daerah utama di Perak yang sebelum ini dipisahkan sejauh lebih 67 kilometer (km) dengan perjalanan lebih sejam.

Kini, jarak itu dipendekkan kepada hanya 10 km dan mengambil masa kira-kira tujuh minit.

“Kemudahan ini amat memudahkan urusan harian penduduk, mempercepat penghantaran hasil pertanian serta membuka lebih banyak peluang ekonomi dan pelancongan di kawasan Bagan Datuk.

“Dengan reka bentuk canggih dan mesra alam, jambatan ini menggunakan sistem jambatan integral dengan laluan bawah khas (box culvert) untuk memastikan penduduk sekitar dapat terus berhubung,” menurut kenyataan KKR.

Selain itu, projek berkenaan turut dilengkapi lampu navigasi bagi keselamatan kapal dan bot serta dibina dengan mengambil kira faktor tanah gambut dan alam sekitar pesisir untuk menjamin kelestarian jangka panjang.

Menurut KKR hasil dan kejayaan projek itu kini menjadi pemangkin kepada rangkaian hubungan komuniti, memperkukuh akses dan mobiliti antara dua daerah utama di Perak serta meningkatkan taraf hidup penduduk tempatan, selain menjadi model kejuruteraan yang seimbang antara kecekapan teknikal, kesejahteraan sosial dan kelestarian alam.

Selain kejayaan JKR, seorang jurutera profesional negara Datuk Dr Dennis Ganendra daripada Minconsult Sdn. Bhd turut diumumkan sebagai penerima Anugerah Hwang iaitu pengiktirafan khas kepada individu yang banyak menyumbang kepada REAAA serta pembangunan kejuruteraan jalan raya serantau.

Nanta dalam kenyataan sama berkata kejayaan yang diperoleh di pentas antarabangsa itu membuktikan bahawa keupayaan kejuruteraan Malaysia kini setanding dengan negara maju dan diiktiraf di peringkat antarabangsa.

“Ini bukan sekadar kemenangan sebuah projek, tetapi kemenangan seluruh warga kejuruteraan Malaysia. Ia mencerminkan keupayaan dan semangat kita membina infrastruktur yang bukan sahaja menghubungkan daerah tetapi menyatukan kehidupan dan memajukan komuniti.

“Dengan dua pengiktirafan utama iaitu Anugerah Projek Terbaik MINO REAAA (kategori Jalan untuk Komuniti) dan Anugerah Hwang REAAA, Malaysia sekali lagi membuktikan kemampuan tenaga kejuruteraan tempatan dalam menghasilkan projek yang berkualiti tinggi, berdaya tahan dan berorientasikan rakyat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan