KUALA LUMPUR, 31 Okt (Bernama) -- Bas KL Hop-On Hop-Off (KL HOHO) yang dikendalikan Elang Wah Sdn Bhd kini dijenamakan semula sebagai “Ronda-Ronda Kuala Lumpur”, versi baharu yang dilengkapi sistem komentari pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) dengan lebih 20 bahasa.
Ketua Pegawai Eksekutif Elang Wah Sdn Bhd Syed Azhar Syed Nadzir berkata sistem itu mampu memberikan penceritaan dan panduan pelancongan secara masa nyata antaranya dalam bahasa Melayu, Mandarin, Jepun, Arab, Korea dan Sepanyol.
“Enam unit bas dua tingkat (double-decker) baharu berkonsep terbuka sepenuhnya dilancarkan pada hari ini dengan empat lagi bas menyusul tahun depan.
“Jumlah pelaburan bernilai RM12 juta bagi keseluruhan bas. Ini merupakan persediaan ke arah Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026,” katanya pada sidang media majlis pelancaran Calendar of Events (COE) Kuala Lumpur 2026 di sini hari ini.
Beliau berkata bas berkenaan turut menawarkan sambungan Wi-Fi berkelajuan tinggi berasaskan 4G/5G, di samping sistem keselamatan terkini dengan liputan kamera litar tertutup (CCTV) definisi tinggi serta perlindungan insurans penumpang menyeluruh bagi menjamin keselamatan dan keselesaan semua pengguna.
“Dari segi reka bentuk, bas ini menampilkan tempat duduk ergonomik dengan pencahayaan ambien lembut yang sesuai untuk lawatan malam, menjadikan setiap perjalanan lebih selesa, eksklusif dan bergaya,” katanya.
Syed Azhar berkata penjenamaan semula perkhidmatan itu merupakan satu identiti baharu yang mencerminkan semangat tempatan serta rasa santai meneroka ibu kota.
“Penjenamaan ini melambangkan komitmen baharu terhadap ciri eksklusif dan kebanggaan Malaysia, menjadikan Ronda-Ronda Kuala Lumpur sebagai lawatan bandar untuk semua mata yang memandang,” katanya.
Bas diperkenalkan adalah model MAN Euro 6, dibina khas oleh Gemilang Coachwork di atas casis MAN RR3 440, menjadikan Elang Wah Sdn Bhd sebagai pengendali pelancongan bandar di Malaysia yang menggunakan piawaian pelepasan karbon tertinggi Eropah.
Sementara itu, mengulas pelancaran COE, Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif berkata sebanyak 35 acara utama akan diadakan sepanjang tahun depan, antaranya Kuala Lumpur Car Free Morning (KLCFM), KUL Fit, KL Street Jam, Santai Seni @ TAR, KL Cultural Nitez dan KL Chamber Concert.
Selain itu, Karnival KUL Vibes, Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL), KL Park Festival (KLPF), Pesta Teater Kuala Lumpur (PTKL) serta Sambutan Ambang Merdeka dan Ambang Tahun Baharu 2027.
Maimunah berkata bagi 2026, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) turut memperkenalkan beberapa inisiatif baharu yang lebih bersifat komuniti seperti Program Muzik Komuniti Bersama Warga Emas, Gema Tradisi Nuansa dan KL River Soul.
“Program KL Cultural Nitez pula diteruskan dengan pendekatan baharu melalui kolaborasi bersama Think City, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan serta Universiti Pendidikan Sultan Idris, menampilkan persembahan teater tradisional Melayu di samping bengkel dan pameran interaktif,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata sekurang-kurangnya 30 juta daripada 46 juta pelancong yang disasarkan melawat Malaysia, dijangka berkunjung ke Kuala Lumpur
“Sebelum ini sasaran seluruh Malaysia adalah 46 juta. Mungkin Kuala Lumpur kita sasarkan kalau dapat setengah pun, Alhamdulillah. Sekurang-kurangnya 30 juta pelancong di Kuala Lumpur sahaja,” katanya.
Majlis hari ini turut menyaksikan pelancaran lagu dan video VisitKL, dengan DBKL buat pertama kali mencipta lagu bertemakan pelancongan bertajuk ‘Jom Lepak KL’.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial