BELANJAWAN 2025 > BERITA

RUU Pembaharuan Semula Bandar Terima Maklum Balas Positif – PLANMalaysia

31/10/2025 12:30 AM

PUTRAJAYA, 30 Okt (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) menerima maklum balas positif daripada pelbagai pihak berkepentingan, menurut Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia).

Dalam kenyataan hari ini, PLANMalaysia memaklumkan respons baik itu diterima sepanjang tiga hari penganjuran Majlis Sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia (HPBS) Peringkat Kebangsaan dan Kongres Perancangan Kebangsaan (NPC) 2025, yang berakhir hari ini.

Menurut jabatan itu, sokongan terhadap RUU PSB disuarakan oleh badan profesional, tokoh akademik, institusi pengajian tinggi, jawatankuasa penduduk, pihak berkuasa tempatan, agensi kerajaan serta pelbagai organisasi berkaitan pembangunan semula bandar menerusi sesi diskusi ilmiah bertajuk 'Transforming Our Cities For A Better Urban Future'.

Sesi libat urus yang dihadiri lebih 500 peserta itu membincangkan aspek pembaharuan semula bandar berdasarkan fakta dan kerangka perundangan sedia ada, selain menekankan keperluan mewujudkan undang-undang baharu yang dapat memandu agensi serta pihak berkepentingan dalam melaksanakan agenda PSB.

"PLANMalaysia terbuka menerima pandangan semua pihak bagi memantapkan kandungan RUU PSB sebelum ia dibentangkan di Parlimen," menurut kenyataan itu.

Menurut PLANMalaysia, pelaksanaan pembaharuan semula bandar akan membuka peluang kerjasama lebih strategik antara pelbagai pihak dalam melaksanakan agenda pembangunan negara, sejajar dengan pewujudan rangka kerja perundangan baharu yang lebih menyeluruh dan berkesan.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan