BELANJAWAN 2025 > BERITA

Industri Filem Tempatan Rekod Kutipan RM164 Juta Di Bawah Skim Wajib Tayang - Teo

30/10/2025 12:15 AM

KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Industri perfileman tempatan merekodkan sebanyak 59 filem di bawah Skim Wajib Tayang, dengan 13 daripadanya mencapai kutipan pecah panggung berjumlah RM164.02 juta setakat 26 Okt, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.

Beliau berkata pada 2024, Malaysia menghasilkan 58 filem dengan 13 filem mencapai status pecah panggung yang mencatatkan kutipan keseluruhan sebanyak RM117.19 juta, manakala pada 2023, sebanyak 62 filem diterbitkan dan 16 daripadanya berjaya mencapai kutipan pecah panggung berjumlah RM102.66 juta.

Teo berkata Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) juga akan mengkaji keperluan menubuhkan Dana Penerbitan Bersama khas bagi format televisyen sebagai sebahagian usaha memperkukuh sokongan terhadap kandungan tempatan.

“Ia juga bertujuan untuk meneroka potensi pasaran ASEAN yang semakin berkembang, selain menggalakkan penerbitan bersama filem dan program televisyen antara negara anggota ASEAN,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam gala Sidang Kemuncak Filem dan TV ASEAN 2025 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif FINAS Datuk Azmir Saifuddin Mutalib, Pengerusi FINAS Datuk Hans Isaac, Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia (PTVM) Datuk Jury Latiff Rosli serta Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid.

Teo berkata kerjasama serantau dalam ASEAN amat penting bagi berkongsi pasaran, bakat, teknologi dan memastikan tiada negara berdaya kreatif yang ketinggalan.

“Apabila kita bergerak bersama, label ‘Dihasilkan di ASEAN’ boleh menjadi lambang kebanggaan dan kecemerlangan kreatif yang diiktiraf serta dihormati di seluruh dunia.

“Inisiatif ini akan memperkasa industri kandungan televisyen negara-negara ASEAN untuk berkembang dan bersaing di peringkat global, selain memperkukuh lagi kerjasama negara kita dalam ASEAN,” katanya.

Beliau berkata kementerian bersama FINAS telah meluluskan sebanyak 149 projek di bawah Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI), merangkumi 56 produksi antarabangsa dan 93 produksi tempatan.

“Dalam tempoh itu, kerajaan telah menyalurkan lebih RM189.9 juta dalam bentuk rebat, sekali gus berjaya menarik pelaburan langsung berjumlah RM1.05 bilion ke dalam industri kreatif Malaysia serta mewujudkan 13,041 peluang pekerjaan,” katanya.

“Negara yang mengambil bahagian termasuk China, Amerika Syarikat, United Kingdom, Finland, Denmark, Australia, Indonesia, Jepun, Perancis, Itali dan lain-lain,” katanya.

Beliau berkata di bawah Belanjawan 2025, sebanyak RM40 juta diperuntukkan kepada FIMI dan daripada jumlah itu, RM39.28 juta disalurkan bagi menyokong 32 projek yang diluluskan (12 antarabangsa dan 20 tempatan), sekali gus menjana 2,766 peluang pekerjaan setakat September 2025.

Majlis malam gala yang dianjurkan sempena dengan Sidang Kemuncak Filem dan TV ASEAN 2025 Siri 2 itu turut menampilkan majlis pertukaran MoU Penerbitan Bersama Antarabangsa antara syarikat produksi dari negara-negara ASEAN, penyampaian Anugerah Bengkel Filem MBM dan Pertandingan TikTok serta pembacaan kenyataan deklarasi Belia Kreatif ASEAN.

Sidang Kemuncak Filem dan TV ASEAN 2025 Siri 2 yang dianjurkan sejak semalam sehingga 30 Okt, diisi dengan sesi perbincangan, persembahan kreatif dan rangkaian jaringan profesional yang menghimpunkan penerbit, pengarah, pemimpin belia serta pengamal media dari seluruh ASEAN. 

Program anjuran bersama oleh PTVM dan MBM dengan sokongan strategik daripada FINAS itu adalah untuk memperkukuh kerjasama serantau, menggalakkan penerbitan bersama dan meletakkan Asia Tenggara sebagai hab kreatif bertaraf dunia.

Acara ini menarik penyertaan lebih daripada 300 peserta daripada 10 negara ASEAN, dengan penglibatan aktif penggiat-penggiat industri dari Malaysia, Indonesia, Thailand, Vietnam, Brunei, Kemboja, Filipina, Singapura dan lain-lain.

Sepanjang tiga hari, para delegasi menyertai sesi perbincangan panel, bengkel filem dan aktiviti jaringan B2B yang mengupas tema seperti Doing Co-Productions Across Borders, Digital Storytelling for Regional Impact dan Creative Freedom in ASEAN Storytelling

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan