Oleh Linda Khoo & Nur Atiq Maisarah Suhaimi
KUALA LUMPUR, 29 Okt (Bernama) -- Filipina akan memberi tumpuan kepada pengukuhan kesalinghubungan, mempercepat pendigitalan dan memajukan Grid Tenaga ASEAN bagi memenuhi keperluan tenaga yang semakin meningkat di rantau ini apabila mengambil alih Kepengerusian ASEAN pada 2026, kata Presiden Ferdinand R. Marcos Jr.
Marcos berkata di bawah Kepengerusian Filipina, ASEAN akan meneruskan usaha sedia ada dalam memperkukuh kesalinghubungan fizikal dan digital, yang merupakan kunci untuk merealisasikan aspirasi blok itu menjadi ekonomi keempat terbesar dunia.
“Apabila saya bercakap tentang kesalinghubungan, ia merujuk kepada kesalinghubungan fizikal dan digital. Dengan kemunculan kecerdasan buatan (AI), adalah penting bagi ASEAN meneliti dengan mendalam proses pendigitalan dalam semua bidang yang kami lakukan,” katanya dalam temu bual eksklusif dengan Ketua Pengarang Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Arul Rajoo Durar Raj.
Marcos berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir pada Selasa.
Beliau berkata “interconnectivity” juga penting, sambil menambah bahawa cadangan Grid Tenaga ASEAN amat diperlukan bagi memenuhi permintaan tenaga elektrik yang semakin meningkat di rantau ini.
“ ‘Interconnectivity’ juga satu keperluan penting, dan sebab itu cadangan pembentukan Grid Tenaga ASEAN atau grid elektrik amat penting kerana permintaan tenaga elektrik akan menjadi sangat besar, termasuk keperluan pusat data yang sedang kami bangunkan membuat permintaan kepada bekalan kuasa kita,” katanya.
Beliau berkata usaha itu merupakan inisiatif penting memandangkan rantau ini bersiap sedia menghadapi lonjakan permintaan elektrik yang didorong oleh pusat data dan penggunaan kuasa pengkomputeran AI.
“Permintaan terhadap penjanaan tenaga akan menjadi sangat besar dan kami perlu bersedia untuk itu,” katanya sambil menambah ASEAN perlu kekal tangkas dan mudah menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi yang pesat.
Teknologi berkembang dengan begitu pantas sehingga kami tidak boleh sekadar merancang dan berpegang kepada satu pelan. Kami mesti bersedia untuk menyesuaikan diri dengan cepat apabila muncul perkembangan baharu,” katanya.
Menurut laman sesawang Pusat Tenaga ASEAN (ACE), Grid Kuasa ASEAN diwujudkan di bawah Visi ASEAN 2020 yang diterima pakai pada Sidang Kemuncak Tidak Rasmi ASEAN Kedua di Kuala Lumpur pada 15 Dis 1997.
Pada Mesyuarat Pemimpin Komuniti Sifar Pelepasan Asia (AZEC) Ketiga yang diadakan di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa negara anggota memperkukuh kerjasama teknikal dan kewangan bagi mempercepat integrasi Grid Tenaga ASEAN.
Dalam ucapan pembukaannya, Anwar berkata Grid Tenaga ASEAN merupakan tonggak utama dalam usaha rantau ini mencapai keselamatan tenaga jangka panjang dan aspirasi iklim, di samping melengkapi inisiatif nasional Malaysia ke arah masa depan rendah karbon.
AZEC yang dilancarkan pada 2023 kini dianggotai 11 negara rakan termasuk Filipina dan Malaysia serta Australia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Jepun, Laos, Singapura, Thailand dan Vietnam.
Malaysia secara rasmi menyerahkan Kepengerusian ASEAN kepada Filipina pada Selasa.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial