GYEONGJU (Korea Selatan), 29 Okt (Bernama-dpa) -- Presiden Donald Trump pada Rabu membangkitkan kemungkinan pengurangan tarif Amerika Syarikat (AS) ke atas import dari China menjelang pertemuan yang dirancang dengan Presiden China, Xi Jinping, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).
Apabila ditanya wartawan sama ada beliau bersedia mengurangkan “tarif berkaitan fentanyl” ke atas barangan dari China, Presiden AS itu berkata: “Saya menjangkakan akan menurunkannya kerana saya percaya ia akan membantu kita dalam menangani isu fentanyl.”
Trump bagaimanapun tidak memberikan butiran lanjut.
Sebelum ini, Wall Street Journal melaporkan, memetik sumber yang mengetahui hal itu, bahawa China dijangka memberi komitmen kepada kawalan eksport yang lebih ketat terhadap bahan kimia prekursor untuk menghasilkan dadah itu sebagai pertukaran bagi pengurangan tarif berkaitan fentanyl ke atas barangan China.
Trump berulang kali menuduh China sebahagiannya bertanggungjawab terhadap krisis fentanyl di AS.
Fentanyl, opioid sintetik yang menyebabkan ketagihan, 50 kali lebih kuat daripada heroin. Menurut pihak berkuasa AS, penggunaan walaupun beberapa miligram boleh membawa maut.
China sejak lama dianggap oleh pihak berkuasa dadah AS sebagai hab pengeluaran bahan kimia yang diperlukan untuk menghasilkan dadah itu.
Tahun lalu, Jabatan Kehakiman AS mendakwa syarikat yang berpangkalan di China dan pekerja mereka atas jenayah berkaitan pengeluaran fentanyl.
Pada Februari, pentadbiran Trump mengenakan duti import tambahan ke atas produk China, dengan alasan krisis fentanyl.
Trump dan Xi dijadualkan bertemu pada Khamis di luar Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik (APEC), yang bermula di sini pada Jumaat.
Kedua-dua pemimpin dijangka membincangkan pertikaian perdagangan berterusan antara dua ekonomi terbesar dunia itu.
-- BERNAMA-dpa
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial