BELANJAWAN 2025 > BERITA

Melaka Titans Yakin Beri Saingan Sengit Meskipun Tanpa Khidmat Mohammad Syahir

28/10/2025 10:41 PM

MELAKA, 28 Okt (Bernama) -- Melaka Titans optimis mampu memberikan saingan sengit pada Kejohanan Sepak Takraw Piala Tun Ali 2025 biarpun kehilangan khidmat tekong kebangsaan Mohammad Syahir Mohd Rosdi, yang mewakili pasukan Majlis Amanah Rakyat (MARA) pada edisi keempat tahun ini.

Yang Dipertua Persatuan Sepak Takraw Melaka (PASTAM) Datuk Akramuddin Abdul Aziz berkata ketiadaan Mohammad Syahir tidak menjejaskan persiapan skuad Melaka Titans kerana mereka bakal diperkuatkan dengan kehadiran tekong dari Thailand Pongsatorn Phong Udtha bagi acara regu lelaki.

“Walaupun kami kehilangan khidmat Mohammad Syahir, saya percaya kehadiran Pongsatorn, yang pernah mewakili negaranya akan membantu Melaka untuk memberikan saingan cukup hebat. 

“Dia bukan tidak mahu beraksi untuk Melaka tetapi sebagai pekerja MARA, keutamaan diberikan kepada majikannya yang turut menyertai kejohanan ini dan kami menghormati keputusan itu,” katanya selepas Majlis Cabutan Undi di Baruh Alai di sini hari ini.

Akramuddin berkata skuad Melaka Titans juga mengekalkan pemain berpengalaman seperti Mohamad Azlan Alias (apit kanan) dan Muhammad Zaim Razali (apit kiri) yang kini berada pada tahap terbaik.

“Azlan telah pulih daripada kecederaan dan kini menjadi pelatih kebangsaan. Kedua-dua mereka juga berjanji akan beraksi sehabis baik pada Piala Tun Ali 2025 demi peminat sepak takraw Melaka.

“Begitu juga dengan regu wanita yang turut diperkuatkan pemain import dari Thailand Kawinnipha Torton selain Siti Hadifitri Navilla Jumidil dan Veronica Asli,” katanya.

Akramuddin berkata Melaka Titans juga menyasarkan untuk mara sekurang-kurangnya ke peringkat separuh akhir bagi kategori regu lelaki dan wanita.

Beliau berkata sebanyak 20 pasukan regu lelaki,  kuadran lelaki (21 pasukan) dan regu wanita (12 pasukan) akan menyertai kejohanan ini, dan saingan dijangka lebih seimbang berbanding edisi terdahulu.

“Kali ini, PSM memperkenalkan acara kuadran bagi menarik minat lebih banyak peminat dan memberi peluang mereka melihat gaya permainan yang melibatkan empat pemain dalam satu pasukan.

“Kami turut merakamkan penghargaan kepada Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh atas sokongan padu terhadap penganjuran kejohanan serta kerjasama baik dengan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan PASTAM,” katanya.

Pada kejohanan yang berlangsung dari 3 hingga 9 Nov itu, juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000, naib juara (RM10,000), manakala tempat ketiga (RM5,000).

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan