KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Pemeteraian Perjanjian Damai KL yang bersejarah antara Thailand dan Kemboja - satu kejayaan penting yang menyerlahkan kepimpinan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN dan mengukuhkan semula perpaduan blok itu di tengah-tengah cabaran geopolitik yang semakin meningkat - ia merupakan kemuncak pencapaian Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang berakhir hari ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi ASEAN dipuji atas peranan penting beliau dalam membawa kedua-dua negara jiran yang lama bersengketa itu ke meja rundingan, berikutan diplomasi senyap berbulan-bulan dan perbincangan tidak rasmi yang dijalankan melalui mekanisme ASEAN.
Pendekatan peribadi Anwar bersama Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul dan Perdana Menteri Kemboja Hun Manet telah membantu merapatkan jurang ketidakpercayaan selama bertahun-tahun, membuka laluan kepada dialog bermakna yang akhirnya membawa kepada pemeteraian perjanjian itu di Kuala Lumpur.
Perjanjian yang turut disaksikan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump itu disifatkan sebagai detik penting dalam sejarah diplomasi ASEAN.
Perjanjian tersebut menamatkan ketegangan sempadan yang berlarutan antara dua negara jiran itu dan dianggap sebagai kejayaan hasil usaha pendamaian berterusan Anwar serta iltizamnya terhadap keamanan serantau.
Trump memuji kepimpinan Anwar dengan menyifatkan perjanjian itu sebagai “kejayaan besar bagi diplomasi ASEAN dan contoh terbaik bagi penyelesaian konflik global,” manakala kedua-dua Perdana Menteri Thailand dan Kemboja turut mengiktiraf “peranan penting Malaysia” dalam memudah cara rundingan yang membawa kepada perjanjian tersebut.
Anwar berkata Perjanjian Damai KL mencerminkan keyakinan berterusan ASEAN terhadap prinsip dialog dan pembinaan konsensus sebagai teras kepada keamanan serta kestabilan serantau.
“Semangat kerjasama, keterangkuman dan saling menghormati sentiasa menjadi tunjang ASEAN - dan Malaysia berbesar hati dapat terus menegakkan tradisi ini melalui perjanjian ini,” katanya.
Perjanjian itu, yang merangkumi aspek keselamatan sempadan, pembangunan bersama serta langkah jangka panjang bagi membina kepercayaan, melambangkan tekad ASEAN untuk menyelesaikan pertikaian secara aman selaras dengan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 iaitu “Keterangkuman dan Kemampanan.”
Dalam satu lagi detik bersejarah, ASEAN turut secara rasmi mengalu-alukan Timor-Leste sebagai anggota penuh ke-11 melalui Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN - peluasan pertama blok itu sejak 1999.
Anwar menyifatkan kemasukan itu sebagai “detik pembaharuan bagi ASEAN,” sambil menegaskan bahawa penyertaan Timor-Leste “melengkapkan keluarga ASEAN, mengukuhkan masa depan serta semangat kekitaan serantau.”
Proses penyertaan Timor-Leste itu mengambil masa lebih satu dekad, dengan sokongan kuat daripada Malaysia dan negara anggota lain.
Keanggotaan itu mencerminkan komitmen ASEAN terhadap keterangkuman, kesamarataan dan perpaduan serantau. Sepanjang sidang kemuncak itu, para pemimpin ASEAN menegaskan semula peranan blok tersebut sebagai tonggak keamanan, dialog dan kerjasama serantau.
Perbincangan turut meliputi pelbagai isu global dan serantau termasuk keselamatan, daya tahan iklim, isu kemanusiaan serta pertumbuhan mampan.
Sebagai Pengerusi, Malaysia menekankan kepentingan memperkukuh perkongsian ASEAN dengan rakan dialog utama seperti China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah.
Para pemimpin turut menegaskan keperluan mengekalkan multilateralisme dan sistem berasaskan peraturan bagi memastikan kestabilan serantau.
Sidang kemuncak yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur dari 26 hingga 28 Okt itu menghimpunkan lebih 3,000 perwakilan dan pemimpin dari 30 negara serta organisasi antarabangsa. Ia juga menandakan kali kelima Malaysia mempengerusikan ASEAN sejak penubuhannya pada 1967, pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.
Siri mesyuarat peringkat tinggi termasuk Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) turut memperkukuh peranan ASEAN sebagai platform utama bagi dialog dan kerjasama serantau.
Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 berakhir dengan semangat baharu terhadap masa depan Asia Tenggara - berpaksikan aspirasi Malaysia mengenai perpaduan, kerjasama dan saling menghormati.
Dengan termeterainya Perjanjian Damai KL yang menandakan era baharu perdamaian, serta kemasukan Timor-Leste yang melengkapkan keluarga ASEAN, Kepengerusian Malaysia 2025 akan dikenang sebagai bab penting yang menghidupkan kembali semangat penubuhan ASEAN dan memperkukuh peranan rantau ini sebagai kuasa untuk keamanan serta kerjasama dalam dunia yang semakin berpecah-belah.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial