BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ichia Technologies Dari Taiwan Buka Kilang Pembuatan Baharu Bernilai RM490 Juta Di Malaysia

28/10/2025 07:20 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Ichia Technologies, Inc., peneraju dalam pembuatan komponen elektronik dari Taiwan membuka kilang pembuatan canggih keduanya di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP), Kedah.

Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dalam satu kenyataan hari ini berkata pelaburan bernilai RM490 juta itu dijangka mencipta kira-kira 600 peluang pekerjaan, dengan tumpuan utama kepada bakat berkemahiran tinggi.

“Kilang itu dengan keluasan 55,000 meter persegi (592,000 kaki persegi) di tapak seluas 11 ekar, menggabungkan barisan pengeluaran automatik, sistem yang didayakan internet pelbagai benda (IoT) dan teknologi kecerdasan buatan (AI), selaras dengan prinsip Industri 4.0.

"Keupayaan pembuatan canggih itu akan menyokong permintaan yang semakin meningkat dalam sektor utama, selain meningkatkan kecekapan dan kualiti pengeluaran," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata keputusan Ichia Technologies untuk membina kilang pembuatan canggih keduanya di Taman Teknologi Tinggi Kulim akan mengukuhkan lagi kedudukan Malaysia dalam sektor elektrik dan elektronik (E&E).

“Kilang canggih ini, yang memberi tumpuan kepada papan litar bercetak (PCB), pemasangan papan litar bercetak (PCBA) dan komponen untuk sektor automotif dan telekomunikasi serta menggabungkan teknologi Industri 4.0 seperti kecerdasan buatan (AI) dan internet pelbagai benda (IoT), sejajar dengan visi Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) kita.

"Pewujudan 600 pekerjaan berkemahiran tinggi itu penting untuk membangunkan bakat tempatan dan memperkukuh peranan Malaysia sebagai hab strategik dan berdaya tahan dalam rantaian bekalan E&E global," katanya.

Sementara itu, pengerusi Ichia Technologies Group, Huang Chiu-Yung, berkata syarikat yang disenaraikan di Taiwan itu merupakan peneraju global dalam menyediakan penyelesaian modul bersepadu canggih. 

Beliau berkata penstrukturan semula rantaian bekalan global yang berterusan serta cabaran daripada tarif timbal balas Amerika Syarikat, akan menjadikan kilang baharu di Kulim itu sebagai pemacu utama pertumbuhan mampan jangka panjang kumpulan tersebut.

“Malaysia akan menjadi pangkalan pengeluaran kedua terbesar kumpulan, membolehkan kami terus menyediakan produk dan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan di seluruh dunia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan