BELANJAWAN 2025 > BERITA

Thailand Mula Tarik Balik Senjata Berat

28/10/2025 04:36 PM

Oleh Kenny Teng

BANGKOK, 28 Okt (Bernama) -- Thailand telah memulakan proses menarik balik senjata berat dari kawasan perbatasan Thailand – Kemboja susulan pemeteraian perisytiharan bersama perjanjian damai yang dikenali sebagai Perjanjian Damai KL  pada Ahad.

Jurucakap Kerajaan Thailand Siripong Angkasakulkiat dalam satu kenyataan berkata Thailand menjangkakan proses itu akan diteruskan secara bersungguh-sungguh dan konsisten bagi memastikan keselamatan komuniti di kawasan sempadan.

“Perdana Menteri Anutin Charnvirakul menekankan kepentingan memperkukuh penyelarasan bagi memastikan pelaksanaan isu-isu utama lain, khususnya kerjasama memerangi jenayah rentas sempadan, kerja-kerja pembersihan periuk api, serta pelaksanaan perjanjian berkaitan pengurusan sempadan,” katanya.

Beliau berkata Perdana Menteri Anutin menegaskan bahawa Perisytiharan Bersama yang ditandatangani pada Ahad menjadi asas kepada kedua-dua negara untuk bergerak ke hadapan, namun faktor paling penting ialah pelaksanaannya mesti dilakukan dengan ikhlas dan berkesan.

Pada Ahad, Anutin dan rakan sejawatnya dari Kemboja, Hun Manet, menandatangani Perjanjian Damai KL, yang disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden Amerika Syarikat Donald Trump.

Menerusi perisytiharan bersama itu, kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan pengurangan ketegangan ketenteraan di bawah pemerhatian dan pengesahan Pasukan Pemerhati ASEAN (AOT), termasuk membawa keluar  senjata serta peralatan berat pemusnah dari kawasan sempadan untuk dikembalikan ke kemudahan ketenteraan masing-masing.

Pada Isnin, Anutin berkata Thailand akan mengambil langkah timbal balik sebaik Kemboja memulakan proses menarik balik senjata berat dari kawasan sempadan.

Sementara itu, pada Selasa, Anutin mengadakan mesyuarat dua hala dengan Hun Manet di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Kuala Lumpur.

Siripong berkata perbincangan antara kedua-dua pemimpin memberi tumpuan kepada keperluan untuk bekerjasama rapat dalam menterjemahkan perjanjian yang dimeterai kepada pelaksanaan praktikal secepat mungkin.

Beliau berkata kedua-dua perdana menteri turut membincangkan cara untuk mempertingkat komunikasi diplomatik dan bersetuju mengarahkan menteri luar masing-masing mengadakan mesyuarat susulan seawal mungkin.

“Rakyat dan media kedua-dua negara sedang memantau rapat kemajuan pelaksanaannya. Oleh itu, menjadi tanggungjawab kedua-dua pihak untuk menunjukkan kemajuan yang nyata serta bertindak dengan jujur dan dengan suci hati dalam menunaikan komitmen yang dibuat bagi memastikan kestabilan dan keselamatan rakyat mereka,” katanya.

Sementara itu, Siripong berkata Anutin mengucapkan terima kasih kepada rakan sejawatnya dari Kemboja atas penghantaran surat takziah berikutan kemangkatan Bonda Ratu, Ratu Sirikit.

Thailand dan Kemboja telah lama terlibat dalam pertikaian sempadan sepanjang 817 kilometer, dengan ketegangan terbaharu pada 24 Julai lalu mencetuskan konfrontasi ketenteraan.

Pada 28 Julai, Anwar menganjurkan mesyuarat penting di Putrajaya antara Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand Phumtham Wechayachai yang berjaya meredakan ketegangan di sepanjang sempadan kedua-dua negara.

Gencatan senjata yang dilihat sebagai satu kejayaan besar ASEAN itu telah membantu mengelakkan konflik daripada berlarutan serta menjamin keselamatan ribuan orang awam.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan