KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama-CMG) -- China dan ASEAN menandatangani protokol penaiktarafan Kawasan Perdagangan Bebas China-ASEAN (CAFTA) versi 3.0 di sini pada Selasa.
Seorang pegawai Kementerian Perdagangan China berkata, selepas pemeteraian protokol berkenaan, kedua-dua pihak AKAN melaksanakan prosedur ratifikasi masing-masing dan berusaha untuk menguatkuasakannya secepat mungkin.
Protokol penaiktarafan CAFTA versi 3.0 merangkumi sembilan bidang utama, termasuk lima bidang baharu iaitu ekonomi digital, ekonomi hijau, kesalinghubungan rantaian bekalan, persaingan dan perlindungan pengguna, serta perusahaan mikro, kecil dan sederhana.
Kandungan baharu ini mencerminkan aspirasi serta tindakan bersama kedua-dua pihak untuk menerajui penggubalan peraturan antarabangsa secara proaktif dan memperkukuh kerjasama dalam sektor baharu.
CAFTA versi 3.0 yang memberi tumpuan kepada penambahbaikan peraturan dan peluasan bidang kerjasama itu bertujuan memacu pembangunan ekonomi serantau yang inklusif, sekali gus meningkatkan kerelevanan sektor korporat dan rakyat dalam pertumbuhan ekonomi serantau.
Pengarah Jabatan Antarabangsa Kementerian Perdagangan China, Lin Feng menjelaskan bahawa pemeteraian protokol ini mencerminkan sokongan kukuh kedua-dua pihak terhadap amalan multilateralisme dan perdagangan bebas melalui tindakan konkrit.
Beliau berkata, ia turut menjadi contoh penting kepada negara lain dalam menentang unilateralisme dan dasar perlindungan perdagangan, serta memperkukuh kerjasama dalam menghadapi cabaran global.
“Ini menandakan kerjasama perdagangan bebas antara kedua-dua pihak akan bergerak ke tahap lebih tinggi, menggalakkan integrasi ekonomi serantau secara menyeluruh dan membantu membina pasaran serantau yang terbuka, inklusif serta berasaskan peraturan.
"Ia juga menyumbang kepada pembinaan komuniti berkongsi nasib China-ASEAN,” katanya.
-- BERNAMA-CMG
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial