BELANJAWAN 2025 > BERITA

Gusmao Seru Dialog Dan Keamanan Diperkukuh Demi Kestabilan Serantau

28/10/2025 12:29 PM

KUALA LUMPUR, 28 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Timor-Leste Kay Rala Xanana Gusmão mengulangi kepentingan keamanan dan dialog dalam memastikan pembangunan mampan di seluruh rantau ASEAN dan seterusnya.

Bercakap kepada pemberita di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 hari ini, beliau berkata rakan dialog badan serantau itu termasuk China, Jepun dan Korea Selatan kekal komited untuk bekerjasama bagi meningkatkan kerjasama dalam pelbagai sektor.

“Rakan kita, bukan sahaja China, Jepun dan Korea, tetapi semua negara rakan yang lain kekal komited untuk terus bekerjasama dengan ASEAN bagi memperbaik kehidupan rakyat dan membangunkan setiap sektor.

“Mereka juga bertekad untuk memastikan keamanan di rantau ini, menyampaikan mesej jelas kepada dunia bahawa tanpa keamanan, pembangunan mungkin tidak boleh dicapai,” katanya.

Mengulas mengenai kemungkinan ASEAN diperluas untuk merangkumi lebih banyak negara anggota pada masa hadapan, Gusmão berkata keputusan itu bergantung pada negara anggota yang lain.

Ditanya perasaan beliau selepas berakhirnya sidang kemuncak ini nanti, Gusmão secara spontan menjawab, “Sejujurnya, sangat penat”.

Pada 26 Okt lepas, Timor-Leste secara rasmi menjadi negara anggota ke-11 ASEAN, menandakan satu detik bersejarah bagi negara berkenaan dan badan serantau itu.

Penyertaan itu yang merupakan peluasan pertama ASEAN dalam tempoh 26 tahun, dimuktamadkan melalui penandatanganan Deklarasi Kemasukan Timor-Leste ke dalam ASEAN.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan