JOHOR BAHRU, 26 Okt (Bernama) -- Malaysia diberi penghormatan apabila dipilih menjadi Tetamu Kehormat Pameran Ekonomi dan Perdagangan Antarabangsa Harbin 2026 di China, sekali gus membuka peluang besar untuk memasarkan produk-produk kampung tempatan ke pasaran antarabangsa.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata ekspo berkenaan, merupakan antara ekspo perdagangan terbesar dunia yang mencatat nilai dagangan lebih RM200 bilion pada tahun ini, dan pemilihan Malaysia sebagai tetamu kehormat mencerminkan pengiktirafan tinggi komuniti antarabangsa terhadap kemampuan produk negara.
“KPKT bersama pertubuhan bukan kerajaan (NGO) akan mendirikan Pavilion Malaysia di Harbin Expo 2026 bagi memperkenalkan produk-produk kampung seperti sambal ikan bilis, sarang burung dan keropok udang yang kini semakin mendapat sambutan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Ekspo ‘Wow! Kampung Baru’ Zon Tengah dan Selatan di Sutera Mall, di sini hari ini.
Nga berkata pemilihan itu juga, selaras dengan usaha kerajaan memperkasakan ekonomi komuniti desa melalui dasar Satu Kampung Satu Produk, yang menggalakkan setiap kampung menghasilkan produk atau jenama yang mampu menembusi pasaran global.
Beliau berkata terdapat 613 kampung baru dan 16,000 kampung tradisi di seluruh negara, dan sekiranya setiap kampung berjaya melahirkan satu produk unggul, ia mampu merancakkan ekonomi tempatan, membuka peluang pekerjaan serta mengekalkan generasi muda di kampung halaman.
Mengulas mengenai program Kampung Baru di Johor yang berlangsung dari 24 hingga 26 Okt, beliau berkata sebanyak 36 produk baharu telah diiktiraf sebagai ‘Kampung Good’ pada ekspo kali ini, menjadikan keseluruhannya 57 produk menerima pengiktirafan sejak program itu diperkenalkan dua tahun lalu.
“Ekspo ini mencatat lebih 50,000 pengunjung dengan nilai jualan melebihi RM300,000, selain disertai pelbagai aktiviti budaya dan pameran warisan yang memperkukuh semangat perpaduan masyarakat pelbagai kaum.
“KPKT bersama NGO akan membantu usahawan “Kampung Good” memasarkan produk mereka serta mendapatkan sijil halal, bagi membolehkan produk kampung menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata Ekspo Kampung Baru akan dinaik taraf ke peringkat kebangsaan pada 2026 bersempena Tahun Melawat Malaysia, bagi memperluas penyertaan dan menjadikannya antara ekspo terbesar dalam sejarah penganjuran KPKT.
Beliau berkata empat hala tuju utama Bahagian Kampung Baru Cina (BKBC) peningkatan infrastruktur, pelancongan, pengindahan dan produk “Kampung Good” kini menunjukkan hasil positif.
Nga berkata KPKT akan bekerjasama dengan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) bagi memastikan kemajuan seimbang antara Kampung Tradisi dan Kampung Baru.
“Inilah semangat Malaysia MADANI tiada yang tertinggal, tiada yang terpinggir,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial