SUBANG JAYA, 21 Okt (Bernama) -- Ribuan pengunjung membanjiri Sunway Lagoon di sini dan Sunway Lost World of Tambun di Perak malam tadi bagi menyaksikan pertunjukan bunga api yang menjadi kemuncak sambutan The Grand Deepavali tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Taman Tema Sunway Prof Calvin Ho berkata sambutan Deepavali kali ini bukan sahaja disertai masyarakat tempatan, malah turut menarik kehadiran pelancong dari negara ASEAN serta pengunjung antarabangsa, menjadikan ia sebagai satu perayaan berbilang budaya yang meriah.
"Suasana perayaan kali ini cukup istimewa yang menawarkan pengalaman tidak dilupakan kepada pengunjung dengan persembahan muzik, tarian dan kebudayaan, sekali gus mewujudkan suasana keceriaan agar semua dapat meraikan Pesta Cahaya bersama-sama di kolam ombak terbesar di dunia.
“Selain hidangan enak yang disediakan, kami akhiri malam dengan pertunjukan bunga api yang memukau,” katanya kepada Bernama ketika ditemui pada majlis sambutan malam tadi.
Perayaan penuh warna-warni yang berlangsung dari 15 hingga 22 Okt itu menonjolkan kepelbagaian budaya Malaysia, serta meraikan simbol kemenangan cahaya mengatasi kegelapan.
Sepanjang malam, pengunjung dihiburkan dengan pelbagai persembahan menarik termasuk Melodies of Deepavali, Colours of Bhangra serta Perarakan Dhol yang mengujakan hingga membuatkan orang ramai turut sama menari.
Kemuncak sambutan diserikan dengan Pertunjukan Bunga Api Muzikal yang memukau, menerangi langit Sunway Lagoon dan Sunway Lost World of Tambun, sekali gus melambangkan semangat Deepavali yang berorientasikan kegembiraan, perpaduan dan permulaan baharu.
Keluarga dan sahabat handai turut berpeluang beramah mesra dengan maskot popular Captain Quack and Family, menikmati keindahan hiasan kolam yang berwarna-warni serta bergambar di zon foto bertemakan perayaan yang direka bagi menghangatkan lagi sambutan Deepavali.
Ho berkata penganjuran acara sebegini bertujuan mewujudkan ruang inklusif supaya masyarakat pelbagai latar belakang dapat bersama-sama meraikan kepelbagaian warisan budaya Malaysia.
Selaras dengan semangat perkongsian dan perpaduan, Sunway Lagoon turut menjemput kanak-kanak dari Praise Emmanuel Children’s Home di Petaling Jaya dan Rumah KIDS di Subang Jaya, serta peserta inisiatif KTG yang menyokong pemerkasaan wanita B40 termasuk ibu tunggal, suri rumah dan wanita kurang berkemampuan untuk turut serta memeriahkan sambutan berkenaan.
Sementara itu di Sunway Lost World of Tambun, sambutan Deepavali turut dimeriahkan dengan kehadiran kanak-kanak dari Rainbow Children's Home Ipoh sebagai sebahagian daripada inisiatif komuniti Sunway.
Langkah itu mencerminkan komitmen berterusan Sunway terhadap inklusiviti, penglibatan komuniti dan penganjuran sambutan perayaan yang membawa makna kepada semua lapisan masyarakat.
“The Grand Deepavali Celebration memperkukuh usaha Taman Tema Sunway dalam meraikan kepelbagaian budaya selepas kejayaan sambutan besar seperti Hari Raya, Tahun Baharu Cina dan Krismas, menjadikannya lambang sebenar kesatuan dalam kepelbagaian di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata ketika Malaysia bersiap sedia menyambut Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026), acara kebudayaan berskala besar seperti The Grand Deepavali Celebration memainkan peranan penting dalam meningkatkan daya tarikan negara sebagai destinasi pelancongan pilihan utama.
“Dengan mengetengahkan keindahan warisan hidup Malaysia melalui muzik, seni dan aktiviti kemasyarakatan, Sunway Lagoon dan Sunway Lost World of Tambun turut menyumbang ke arah mempromosikan identiti pelbagai budaya Malaysia di pentas dunia,” katanya.
Ho berkata usaha mempersembahkan warisan budaya ini bukan sahaja menarik pelancong antarabangsa dan pengunjung berulang, tetapi juga memberi manfaat ekonomi kepada komuniti sekitar dan rakan pelancong selain mengangkat acara kebudayaan sebagai tarikan utama untuk seisi keluarga dan pelancong.
The Grand Deepavali Celebration berlangsung hingga 22 Okt ini dengan pelbagai persembahan menarik, sajian perayaan dan aktiviti mesra keluarga di Sunway Lagoon dan Sunway Lost World of Tambun, Ipoh.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial