KUALA LUMPUR, 18 Okt (Bernama) -- Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) bersedia menawarkan khidmat sokongan termasuk bantuan psikologi dan kaunseling kepada murid yang menjadi mangsa mahupun pemangsa buli di sekolah, sebagai usaha menangani gejala salah laku pelajar yang semakin membimbangkan.
Naib Pengerusi Kanan MCPF Datuk Sri Ayub Yaakob dalam kenyataan berkata inisiatif itu akan dilaksanakan di semua peringkat bagi memastikan setiap sekolah menjadi tempat paling selamat serta bebas daripada sebarang bentuk jenayah atau kekerasan.
Beliau berkata MCPF juga bersedia membantu menganjurkan program intervensi serta kesedaran pencegahan jenayah melalui latihan dan seminar kepada pendidik, ibu bapa dan komuniti.
“Isu ini adalah sesuatu yang sangat kritikal dan perlu diberi perhatian serius… Ini isu nasional dan ia bukan tanggungjawab kerajaan semata-mata, sebaliknya melibatkan komitmen semua pihak bermula di peringkat sekolah hingga ke masyarakat secara keseluruhannya,” katanya.
Menurut Ayub lagi, MCPF komited untuk terus memperkasakan Kelab Pencegahan Jenayah (KPJ) di sekolah-sekolah bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan murid tentang gejala yang boleh menjejaskan masa depan mereka.
Ayub turut menyeru semua pihak termasuk pelajar institusi pengajian tinggi, Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), badan bukan kerajaan (NGO) serta komuniti setempat untuk bersama-sama memainkan peranan dalam mengekang gejala buli.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial