BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pusat Tenaga ASEAN Lancar Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu ASEAN

17/10/2025 07:23 PM

KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Pusat Tenaga ASEAN (ACE) melancarkan Pelan Hala Tuju Jangka Panjang Tenaga Boleh Baharu (TBB) ASEAN (RE LTRM) pada Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM).

Sesi maklumat awam mengenai pelan hala tuju itu diadakan pada Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Dalam satu kenyataan, ACE berkata pelan hala tuju berkenaan menumpukan kepada dasar-dasar berkaitan TBB sebagai usaha merapatkan jurang di antara aspirasi serantau dengan neutraliti karbon.

“Pelan hala tuju ini menyediakan pelan strategik bagi memastikan peralihan tenaga menjadi asas kepada Wawasan Komuniti ASEAN untuk menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia yang memacu daya saing ekonomi masa depan dan pertumbuhan mampan.

“Sebagai asas kepada Pelan Tindakan Tenaga Kerjasama ASEAN 2026-2030 yang akan datang, pelan hala tuju ini menterjemahkan visi jangka panjang kepada strategi yang boleh dilaksanakan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif ACE Datuk Razib Dawood berkata RE LTRM disasarkan untuk menjadi panduan jangka panjang sektor bagi negara-negara anggota ASEAN dalam menguruskan masa depan tenaga bersama di rantau ini.

“Pada peringkat teknikal, pelan hala tuju ini berfungsi sebagai rangka kerja serantau yang diperkasakan bagi menterjemahkan cita-cita tinggi TBB ASEAN kepada tindakan yang terkoordinasi dan boleh dilaksanakan,” katanya.

Dengan objektif utama iaitu mempercepatkan integrasi TBB dalam rantau ini, ACE berkata pelan hala tuju berkenaan melangkaui pemodelan teknikal dengan berfungsi sebagai dokumen panduan untuk memudahkan reka bentuk dan pelaksanaan program TBB.

Selain itu, ia turut mempersembahkan prospek ekonomi rantau ini bagi peralihan tenaga.

Organisasi itu berkata RE LTRM menawarkan pandangan mendalam mengenai skop strategi peralihan tenaga merentasi pelbagai jangka masa dengan matlamat memastikan negara-negara anggota ASEAN kekal berada di landasan yang betul bagi menuju sasaran TBB dan matlamat neutraliti karbonnya.

Katanya, ia turut mengenal pasti peluang untuk meningkatkan perkongsian dan kerjasama di seluruh rantau ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan