Oleh Engku Shariful Azni Engku Ab Latif
KUALA LUMPUR, 17 Okt (Bernama) -- Negara anggota ASEAN boleh mewujudkan momentum yang kukuh bagi rantau ini, jika bekerjasama dan menyelaras dasar tenaga serta iklim mereka ketika rantau Asia Tenggara menuju ke arah peralihan tenaga, kata seorang pakar.
Felo Kanan Pelawat Institut ISEAS-Yusof Ishak Dr Christopher Len berkata ini kerana organisasi di rantau itu kini tidak lagi melihat dasar tenaga dan iklim sebagai aliran berasingan tetapi sebagai agenda yang saling mengukuhkan.
Selain itu, katanya, ketika ini rangka kerja serantau iaitu Pelan Tindakan ASEAN untuk Kerjasama Tenaga, dan strategi nasional, sedang menyelaraskan sasaran mereka serta menekankan penyepaduan tenaga bersih ke dalam pelan tindakan iklim yang meluas.
Beliau berkata, dengan melaksanakan teknologi baharu, membangunkan ekonomi hijau yang baharu, sudah pasti akan wujud pelbagai peluang bagi pelaburan dalam tenaga bersih dan penyelesaian iklim.
“Kami perlu mendapat sokongan daripada pemilik perniagaan, populasi secara amnya, pihak berkepentingan luar dan anda perlu mempunyai mesej yang sangat koheren apabila bercakap mengenai tenaga dan iklim di rantau ini.
“Cara untuk melakukan semua itu ialah dengan mengadakan penyelarasan dan mengharmonikan peraturan untuk mewujudkan pasaran yang lebih besar, untuk menarik orang ramai untuk datang serta melabur di rantau ini,” katanya ketika menjadi panel sesi bertajuk ‘Accelerating ASEAN’s Energy-Climate Nexus: Linking SDG 7 and SDG 13 for a Just and Inclusive Energy Transition’ di Forum Perniagaan Tenaga ASEAN Ke-25 (AEBF-25) di sini hari ini.
Selain itu, turut diadakan majlis pelancaran ASEAN SDG 7 (Tenaga Mampu dan Bersih) dan SDG 13 (Tindakan Iklim), yang dijalankan oleh Pusat Tenaga ASEAN (ACE), menerusi Projek Perubahan Iklim dan Tenaga Fasa 11 ASEAN (ACCEPT 11) dengan kerjasama Institut Hal Ehwal Antarabangsa Norway (NUPI).
Kajian itu menilai kemajuan ASEAN dalam menyampaikan SDG (Matlamat Pembangunan Mampan) 7 dan menunjukkan bagaimana tindakan iklim di bawah SDG 13 boleh berfungsi sebagai pemboleh strategik melalui integrasi dasar, mobilisasi kewangan iklim dan pembinaan daya tahan.
Mengulas mengenai laporan itu, Timbalan Ketua Misi Kedutaan Norway di Kuala Lumpur Knut Øyvind Granli berkata laporan itu memberi gambaran yang tepat mengenai bagaimana kedua-dua SDG boleh mengukuhkan satu sama lain, bukan sahaja mempercepatkan penyahkarbonan tetapi juga menggalakkan inovasi, mewujudkan pekerjaan baharu dan meningkatkan daya tahan.
Beliau berkata Norway amat menghargai peranannya sebagai rakan dialog sektoral ASEAN dan melihat ASEAN sebagai pemain utama dalam mengukuhkan tindakan terhadap iklim global.
“Norway boleh berkongsi kepakaran dan pengetahuannya dengan ASEAN berbekalkan pengalaman selama berdekad dalam pembangunan kuasa hidro, iaitu sebagai pendahulu global dalam pemerangkapan dan penyimpanan global.
“Kami menyasarkan untuk menyokong peralihan ASEAN menuju ekonomi rendah karbon sambil memupuk inovasi dan pertumbuhan yang mampan bagi semua, dan bersedia untuk meneruskan perkongsian ini, bagi memastikan peralihan tenaga ASEAN bukan sahaja pantas serta mampan, tetapi inklusif untuk semua,” katanya dalam ucapan pembukaannya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial