KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Kerajaan akan terus memperkenalkan pembaharuan dasar pelaburan dan perdagangan yang progresif bagi memperkukuh daya saing Malaysia di peringkat global, kata Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) hari ini.
Menurut MITI, pelbagai pendekatan dan strategi dilaksanakan secara Whole-of-Government menerusi kementerian itu serta agensi-agensi di bawahnya seperti Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) ketika ini dalam usaha memulihkan daya saing eksport dan meningkatkan keyakinan pelabur.
Antaranya memperkenalkan Kerangka Insentif Pelaburan Baharu bagi memperkukuhkan ekosistem rantaian bekalan antara syarikat-syarikat tempatan dan syarikat multinasional serta syarikat besar domestik, kata kementerian itu.
Hasilnya, Malaysia telah merekodkan prestasi pelaburan langsung asing (FDI) yang menggalakkan pada separuh pertama tahun 2025 dengan mencatatkan aliran masuk bersih sebanyak RM17.2 billion, yang mana angka tersebut adalah lebih tinggi berbanding RM14.8 bilion yang direkodkan pada separuh pertama tahun 2024.
“Selain itu, kelebihan yang dimiliki oleh Malaysia khususnya daripada aspek asas ekonomi yang kukuh, kedudukan yang strategik dan rangkaian perdagangan yang luas telah memperkukuh daya tahan negara dalam mendepani krisis pada peringkat global dan serantau,” kata kementerian itu menerusi jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.
MITI turut menambah asas yang kukuh ini membolehkan Malaysia terus merekodkan lebihan akaun semasa imbangan pembayaran.
"Pada separuh pertama 2025, Malaysia merekodkan lebihan akaun semasa sebanyak RM17 bilion. Angka ini lebih tinggi berbanding RM13 bilion yang direkodkan pada tempoh sama pada 2024.
"(Dan) walaupun lebihan akaun semasa pada suku kedua 2025 telah menyusut kepada 0.3 bilion disebabkan oleh peningkatan import barangan modal dan barangan perantaraan, namun import bagi kedua-dua komponen barangan itu akan dapat menyumbang kepada kesan limpahan kepada eksport Malaysia dalam jangka masa pendek dan sederhana," kata MITI.
Kementerian itu menjawab soalan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berhubung apakah usaha kerajaan dalam memulihkan daya saing eksport serta keyakinan pelabur dalam konteks lebihan akaun semasa serta prestasi pelaburan langsung asing.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial