BELANJAWAN 2025 > BERITA

Ribut Di Banting: Rumah Didiami Empat Generasi Musnah

16/10/2025 10:58 PM

KUALA LANGAT, 16 Okt (Bernama) -- Sebuah rumah berusia lebih 60 tahun yang menjadi tempat berteduh empat generasi musnah teruk dalam tragedi ribut di Kampung Medan, Telok Panglima Garang di sini petang semalam.

Nusiah Kasim, 83, berkata kejadian berlaku kira-kira 4 petang ketika dia sedang berehat bersama-sama anak, cucu serta cicitnya di dalam rumah sambil menunggu waktu menunaikan solat asar.

"Saya menggendong cicit yang ketakutan akibat bunyi deruan angin serta petir. Selepas beberapa ketika, saya keluar melihat keadaan sekeliling bagi mendapatkan kepastian dari mana datangnya bunyi yang sangat kuat itu.

"Ketika itu saya boleh nampak banyak serpihan diterbangkan angin antaranya bumbung zink, pokok dan pelbagai jenis barangan yang berada di laluan angin yang kelihatan berpusing," katanya ketika ditemui di rumahnya di kampung berkenaan hari ini.

Nusiah bagaimanapun bersyukur kerana kesemua ahli keluarganya selamat, walaupun rumah mereka hampir musnah sepenuhnya terutama pada bahagian bumbung dan dinding daripada kayu.

Seorang lagi mangsa, Zainah Abdul Majid, 52, berkata keluarganya kerugian lebih RM25,000 akibat bencana itu apabila sebahagian besar bumbung rumah rosak selain perkakas elektrik.

"Saya sudah bertanyakan kontraktor kos diperlukan untuk pembaikian. Mereka telah datang melihat keadaan rumah dan setelah membuat penelitian, saya dimaklumkan sebanyak RM18,000 diperlukan untuk membaiki bumbung.

"Hari ini, kawasan ini sekali lagi dilanda hujan. Bertambah banyak barangan yang rosak akibat terkena air terutama perabot dan perkakas rumah kerana masih ada bahagian bumbung belum sempat dibaiki," katanya.

Berkongsi mengenai kejadian itu, Zainah berkata dia terdengar bunyi seakan-akan monyet sedang berlari di atas bumbung sebelum atap diterbangkan angin kuat seolah-olah 'puting beliung'.

Katanya kejadian itu merupakan pengalaman pertama keluarganya berdepan detik cemas akibat ribut sepanjang tempoh 25 tahun menetap di kawasan itu.

Sementara itu, Ketua Kampung Medan Azli Sabirin berkata setakat ini, kampung didiami 18,000 penduduk itu merekodkan hampir 40 rumah mengalami kerosakan melibatkan struktur bumbung, dinding, perabot, barangan elektrik serta pelbagai jenis kenderaan.

"Ketika kejadian saya baru pulang dari Jenjarom kira-kira 3 petang. Keadaan cuaca ketika itu sangat tenang dan langit cerah. Tidak sangka hanya dalam masa lima minit, ribut berkenaan telah memusnahkan hampir 40 rumah termasuk milik saudara mara saya.

"Sepanjang tempoh 50 tahun, ini adalah tragedi terburuk melanda kampung ini selepas kali terakhir dilanda banjir berskala kecil pada 2021," katanya.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Mohd Akmalrizal Radzi menerusi satu kenyataan memaklumkan kejadian pada 4.15 petang itu telah menyebabkan 11 murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan mengalami cedera ringan.

Seorang lelaki turut cedera di bahagian mata manakala seorang wanita patah kaki selepas dihempap besi ketika kejadian dan kedua-duanya kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang.

Turut musnah, lima sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) dan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan, SK Jalan Tanjung, Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan serta Dewan Wawasan Batu 9 Kampung Medan.

Tinjauan Bernama di lokasi kejadian setakat 7 malam tadi mendapati kebanyakan mangsa masih melakukan kerja-kerja pembersihan termasuk pasukan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang menggantikan kabel serta tiang elektrik yang rosak.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan