PUTRAJAYA, 16 Okt (Bernama) -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) mengesahkan perkhidmatan aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kembali beroperasi seperti biasa selepas gangguan sementara yang berlaku petang semalam.
Kejadian yang berlaku sekitar 8.30 malam itu menyebabkan pengendali lapangan terbang berkenaan segera mengaktifkan langkah-langkah kontingensi.
“Perkhidmatan bas ulang-alik digerakkan serta-merta bagi memastikan penumpang dipindahkan antara Bangunan Terminal Utama dan Bangunan Satelit. Kami boleh mengesahkan tiada penumpang yang terlepas daripada penerbangan sepanjang tempoh berkenaan, sekali gus membuktikan keberkesanan pelan kontingensi kami,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
MAHB berkata menjelang 9.27 malam pada hari yang sama, sebuah tren telah berjaya dipulihkan untuk beroperasi semula dan selepas beberapa siri ujian keselamatan serta operasi dijalankan, kedua-dua tren beroperasi seperti biasa.
Menurut syarikat itu, kejadian berkenaan berlaku dalam tempoh liabiliti kecacatan bagi sistem aerotrain baharu yang baru sahaja mula beroperasi.
“Satu mesyuarat teknikal tergempar telah diadakan bersama kontraktor projek iaitu Alstom dan usaha sama IJM-Pestech (IPJV), yang turut bertanggungjawab terhadap reka bentuk dan pemasangan sistem pengagihan kuasa. Punca sebenar gangguan itu kini sedang disiasat dan kontraktor dijangka mengeluarkan laporan teknikal terperinci secara berasingan,” katanya.
Sementara itu, MAHB telah memperkenalkan langkah jaminan tambahan termasuk imbasan termografik dan ujian diagnostik bagi mengesahkan keselamatan dan integriti sistem itu.
Pengendali lapangan terbang itu berkata pihaknya juga akan memantau dengan teliti kerja-kerja pembaikan yang dilaksanakan oleh kontraktor.
“Kejadian terbaharu ini amat mengecewakan memandangkan sistem aerotrain itu telah melalui proses ujian, pentauliahan dan pensijilan yang ketat sebelum dilancarkan. Proses ini melibatkan perunding bebas, pakar keselamatan dan pihak berkuasa kawal selia untuk memastikan pematuhan terhadap semua piawaian keselamatan dan prestasi,” katanya.
Sebagai sebahagian daripada langkah berjaga-jaga tambahan, MAHB akan melantik penilai bebas untuk menjalankan semakan menyeluruh terhadap reka bentuk bekalan kuasa dan kualiti pemasangannya.
“Malaysia Airports kekal komited sepenuhnya untuk memastikan sistem aerotrain KLIA selamat, boleh dipercayai dan mampu memberikan piawaian perkhidmatan yang tinggi seperti yang dijangkakan dan layak digunakan oleh para penumpang kami,” tambahnya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial