BELANJAWAN 2025 > BERITA

JKM Serbu 'Port' Gelandangan, 545 Individu Diselamatkan

16/10/2025 05:38 PM

KUALA LUMPUR, 16 Okt (Bernama) -- Sebanyak 545 individu termasuk 180 warga asing berusia 30 hingga 60 tahun berjaya diselamatkan sejak inisiatif bersepadu menangani isu gelandangan di ibu negara, Operasi KL Strike Force dilaksanakan pada Februari hingga pagi tadi.

Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Che Samsuzuki Che Noh berkata operasi itu, yang memasuki siri keenam tahun ini menumpukan lokasi strategik di pusat bandar, termasuk stesen pengangkutan dan pusat komersial dengan 16 hotspot gelandangan dikenal pasti seperti jejantas UTC Pudu, Bukit Bintang, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Masjid Jamek dan Jalan Imbi. 

“Hasil pelaksanaan ini diharap dapat mewujudkan persekitaran yang kondusif serta menjaga imej negara pada mata masyarakat antarabangsa,” katanya ketika ditemui di lokasi operasi awal pagi tadi.

Beliau turut mengakui isu gelandangan memerlukan pendekatan berterusan kerana sebahagian kes berulang berpunca daripada kurang sokongan keluarga atau masalah sosial lain.

“Dari segi makan minum, pakaian dan keperluan asas, mereka sebenarnya tidak terabai tetapi aspek keselamatan, kesihatan dan imej negara, ini yang perlu ditangani bersama,” katanya.

 

Che Samsuzuki berkata setiap individu yang diselamatkan akan melalui proses saringan daripada pelbagai agensi yang terlibat seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Wilayah Persekutuan, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Dalam siri keenam operasi yang berlangsung dari 10 malam hingga 8 pagi tadi, sebanyak 101 individu diselamatkan, termasuk 27 warga asing. 

Antara mereka ialah Kumar, 59, dan Daud,45, yang terpaksa menjadi gelandangan kerana pendapatan tidak menentu dan tiada kemampuan mendapatkan tempat tinggal lebih baik, memberi gambaran nyata tentang realiti gelandangan di kota raya.

“Malam ni saya bersyukur JKM datang bantu… sekurang-kurangnya saya tidak perlu lagi tidur di kaki lima dan diberi peluang untuk kerja baharu,” kata Kumar yang berasal dari Kuala Selangor dan kini tidak bekerja. 

Daud, dari Perak pula berkata hidupnya berubah selepas ditinggalkan rakan yang datang bersamanya ke ibu kota sebelum pandemik COVID-19 melanda negara.

“Saya pernah kerja kontrak, lepas itu kutip tin sebab tiada pilihan… pernah juga ditahan sebab tidur depan kedai, tapi bila negatif ujian air kencing saya dilepaskan, saya harap kali ini bantuan JKM boleh ubah hidup saya,” katanya penuh harapan.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan