LABUAN, 15 Okt (Bernama) -- Balai raya Kampung Sungai Miri di sini yang mengalami kerosakan teruk akibat puting beliung Ogos lepas akan menjalani kerja-kerja pembaikan tidak lama lagi menerusi pembiayaan Perbadanan Labuan (LC).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa berkata kerja-kerja pembaikan itu dibiayai menggunakan dana kecemasan pihak berkuasa tempatan.
Beliau berkata selain balai raya, kejadian pada 29 Ogos itu juga menyebabkan kerosakan terhadap sekurang-kurangnya 29 rumah di lapan kampung serta Sekolah Kebangsaan Rancha-Rancha di Kampung Sungai Lada.
“Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta Kementerian Pendidikan juga akan menghulurkan bantuan untuk kerja-kerja pembaikan bagi memastikan struktur terjejas khususnya kemudahan awam dapat dipulihkan secepat mungkin,” katanya kepada pemberita selepas melawat lokasi kejadian hari ini.
Dr Zaliha berkata bantuan kewangan segera daripada LC juga telahpun disalurkan kepada keluarga terjejas sejurus selepas bencana terbabit bagi meringankan beban mereka.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial