Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 14 Okt (Bernama) -- Malaysia dan Kemboja menegaskan komitmen bersama untuk terus mempromosikan keamanan serta kestabilan serantau.
Kedua-dua pihak memaklumkan bahawa perbincangan sedang giat dijalankan untuk memuktamadkan penubuhan Pasukan Operasi ASEAN (ASEAN Operations Team, AOT) semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan yang bakal diadakan di Kuala Lumpur, dengan atase pertahanan kini sedang menyiapkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mewujudkan mekanisme itu.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang sedang dalam lawatan rasmi ke Kemboja berkata, Malaysia akan terus menyelaras usaha ke arah penyelesaian aman bagi konflik sempadan Kemboja–Thailand.
“Peranan penting Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN adalah untuk memudah cara pelaksanaan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand, dan kehadiran AOT akan memastikan perjanjian gencatan senjata itu dilaksanakan seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua negara,” katanya.
Kemboja menaruh harapan tinggi terhadap Sidang Kemuncak ASEAN yang akan datang untuk mencari penyelesaian terhadap pertikaian sempadan yang berlarutan dengan Thailand sejak gencatan senjata pada 28 Julai lalu.
Malaysia menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-Sidang Berkaitan dari 26 hingga 28 Okt ini.
Kedua-dua pemimpin turut bersetuju bahawa konflik yang berpanjangan itu telah menjejaskan kehidupan penduduk di kawasan sempadan serta menghalang integrasi dan ketersambungan serantau.
Pada masa ini, Pasukan Pemerhati Interim yang diketuai Malaysia sedang memantau kemajuan pelaksanaan gencatan senjata di sepanjang kawasan sempadan.
Terdahulu pada Selasa, Ahmad Zahid mengadakan kunjungan hormat ke atas Presiden Senat merangkap bekas Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen.
Beliau berada di Kemboja dari 13 hingga 15 Okt dan akan menyertai Persidangan Jawatankuasa ASEAN Mengenai Pengurusan Bencana (ACDM) ke-47.
Selain isu keselamatan serantau, kedua-dua pemimpin turut membincangkan pelbagai perkara termasuk sokongan berterusan Malaysia terhadap Kemboja dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), serta usaha memperkukuh pelancongan, pelaburan dan sektor pertanian.
Perdagangan dua hala antara kedua-dua negara mencecah RM3.2 bilion (US$750 juta) bagi tempoh Januari hingga Ogos tahun ini, meningkat 45 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.
Kedua-dua kerajaan optimis untuk mencapai jumlah dagangan RM4.2 bilion (US$1 bilion) menjelang tahun depan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial