BELANJAWAN 2025 > BERITA

SPRM, TLDM Perkukuh Kerjasama Strategik Forensik Digital Ketenteraan

14/10/2025 12:46 PM

PUTRAJAYA, 14 Okt - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) komited dalam menghadapi ancaman siber masa depan melalui perkongsian kepakaran. 

 

Pengarah Bahagian Forensik Teknologi (BFT) SPRM, Wan Zulkifli Wan Jusoh berkata, kerjasama strategik itu penting untuk memastikan perlindungan bukan hanya aset fizikal, tetapi juga kedaulatan data dan maklumat negara.

 

"Dengan integrasi kepakaran forensik digital SPRM dan operasi TLDM, negara dilengkapkan  dengan kemampuan pertahanan siber yang holistik dan berdaya tahan bagi menghadapi cabaran abad ke-21," katanya ketika mengetuai lawatan BFT dan Pentadbiran Siasatan SPRM ke Markas Angkatan Kapal Selam (MAKS) di Sepanggar, Sabah baru-baru ini.

 

Beliau berkata, lawatan itu bertujuan memperkukuh kerjasama forensik digital dalam konteks pertahanan negara khususnya dalam era pertempuran siber.

 

Katanya, tiga fokus utama kerjasama antara SPRM dan TLDM ialah membabitkan pencegahan ancaman dalaman, tindakbalas insiden siber dan pemulihan data pasca-insiden.

 

Ketibaan rombongan SPRM telah disambut oleh Ketua Staf MAKS TLDM, Kepten Mohd Reduan Ayob, yang turut mengadakan taklimat mendalam mengenai operasi kapal selam moden. 

 

Lawatan ini termasuk tinjauan ke dua-dua buah kapal selam negara, KD Tunku Abdul Rahman dan KD Tun Razak sekali gus memberikan pendedahan langsung kepada sistem digital kapal selam.

 

Dalam era pertempuran siber sebagai medan baharu, integrasi kepakaran forensik digital dengan operasi ketenteraan menjadi keperluan kritikal malah kapal selam moden sebagai "bandar besi" bergantung sepenuhnya kepada sistem digital dari kawalan navigasi dan persenjataan hingga komunikasi serta logistik.

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan