KUALA LUMPUR, 14 Okt (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Malaysia memutuskan untuk menyokong pelan damai yang dikemukakan Amerika Syarikat kerana sebarang usaha ke arah pendamaian amat penting bagi menghentikan pembunuhan dan kemusnahan di Gaza.
Bagaimanapun, beliau menegaskan sokongan Malaysia adalah bersyarat, dengan menuntut agar pelan berkenaan mengiktiraf kedudukan Palestin sebagai sebuah negara berdaulat, menyelesaikan semua isu termasuk di Tebing Barat, serta mengembalikan hak rakyat Palestin yang terusir dari Gaza.
“Dalam mendukung inisiatif Presiden Donald Trump, pendirian ini selaras dengan beberapa negara Islam lain yang berpandangan bahawa usaha damai perlu dimeterai segera memandangkan pembunuhan rakyat, termasuk wanita dan kanak-kanak, masih berterusan. Keadaan ini wajib dihentikan segera,” katanya.
“Kedua, keadaan di Gaza terlalu tenat, hampir kebuluran. Maka atas pertimbangan kemanusiaan, kita menyatakan bahawa apa juga inisiatif yang diambil, termasuk oleh Presiden Donald Trump, wajar disokong,” katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) yang ingin mengetahui pendirian kerajaan terhadap pelan damai dikemukakan Presiden Amerika Syarikat berhubung konflik Palestin-Israel, serta sejauh mana ia selaras dengan prinsip dan usaha Malaysia dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin dan kedaulatan negara itu.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata Malaysia tidak termasuk dalam kumpulan negara yang diundang menghadiri rundingan pelan damai di Sharm El-Sheikh, Mesir, susulan pendirian sokongan bersyarat negara ini terhadap pelan berkenaan.
“Malaysia tidak termasuk kerana kita menyokong dengan bersyarat. Syaratnya ialah penyelesaian komprehensif yang melibatkan pemulangan rakyat Palestin yang terusir serta beberapa perkara berkaitan hak Palestin sebagai sebuah negara.
“Namun, pelan damai yang saya baca mengandungi 20 perkara itu tidak menyentuh soal hak rakyat Palestin, kedudukan negara mereka dan isu pendudukan penjajahan yang masih berlaku oleh rejim Zionis di Tebing Barat,” katanya.
Anwar berkata pendirian Malaysia dalam menyeru gencatan senjata serta menghentikan pemusnahan di Gaza turut mendapat penghargaan daripada Hamas menerusi sepucuk surat yang diterima beliau, semalam.
Sementara itu, beliau berkata Malaysia akan menumpukan usaha kepada pembinaan semula sekolah, hospital dan masjid di Gaza dengan kerjasama beberapa negara luar termasuk Jepun, China, Brazil dan Afrika Selatan yang turut menyatakan komitmen untuk membantu pemulihan wilayah berkenaan.
Anwar turut memaklumkan Qatar dan Arab Saudi bersetuju mempercepat bantuan kemanusiaan termasuk kemudahan asas ke Gaza.
“Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman menyatakan kesediaan untuk menyalurkan bantuan segera, khususnya kemudahan asas, dan Malaysia juga akan mempercepat pelaksanaan Kerjasama Negara Asia Timur untuk Pembangunan Palestin (CEAPAD) yang dipengerusikan bersama Jepun bagi tujuan pemulihan serta pembinaan semula Gaza,” katanya.
Menjawab pertanyaan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai pendirian Malaysia untuk membawa sukarelawan ke Gaza, Anwar berkata Malaysia bersedia menghantar pasukan perubatan serta menyertai pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sekiranya diperlukan.
“Malaysia bersedia kalau diminta atau diperlukan. Selama ini, kita tidak pernah menolak. Setiap kali pasukan pengaman digerakkan, Malaysia turut serta. Saya juga berpendapat pasukan pendamai itu merupakan antara jaminan terbaik bagi memastikan keamanan di Gaza,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial