BELANJAWAN 2025 > BERITA

Projek Air Mentah, RTB Jamin Kesejahteraan Bekalan Air Di Pulau Pinang

14/10/2025 09:16 AM

Oleh Erma Idayu Mohd Yusop

GEORGE TOWN, 14 Okt (Bernama) -- Projek menaik taraf lokasi pengambilan air mentah di Titi Kerawang dan Teluk Awak serta pemasangan paip air mentah ke Empangan Teluk Bahang seperti yang diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2026, dijangka dapat memastikan keterjaminan bekalan air mentah di Pulau Pinang.

Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur dan Pengangkutan negeri Zairil Khir Johari berkata kerajaan negeri telah melaksanakan Projek Kontigensi Air Mentah Sungai Pinang bagi mengisi Empangan Teluk Bahang sejak 2020 dengan Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menggunakan paip dwifungsi berukuran 450 milimeter (mm) sepanjang 8.6 kilometer (km).

Beliau berkata menerusi projek itu, air mentah dari Titi Kerawang disalurkan ke Empangan Teluk Bahang semasa musim monsun dari September hingga Disember, manakala pada waktu lain, paip sama digunakan untuk menyalurkan air terawat dari Rumah Pam Teluk Bahang ke Loji Rawatan Air Sungai Pinang.

"Namun, penggunaan sistem dwifungsi ini menyebabkan bekalan air tidak konsisten kepada pengguna di sepanjang laluan paip, di samping mengehadkan keupayaan menyalurkan air mentah di luar musim monsun," katanya kepada Bernama. 

Beliau berkata bagi menangani isu itu, pemasangan paip khusus untuk menyalurkan air mentah dari Titi Kerawang ke Empangan Teluk Bahang perlu dilaksanakan segera bagi memastikan bekalan air mentah yang berterusan dan lebih efisien.

Zairil berkata perubahan iklim dan peningkatan permintaan air turut menyebabkan Empangan Teluk Bahang tidak dapat diisi sepenuhnya walaupun pada musim hujan, justeru menegaskan keperluan projek tersebut dilaksanakan segera.

Mengenai peruntukan RM2.2 bilion untuk Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) yang antara lain melibatkan Sungai Nyiur di Seberang Perai Utara, Zairil berkata kawasan projek berkenaan terletak dalam lembangan Sungai Nyiur, iaitu sublembangan Sungai Perai yang meliputi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Dalam, Bagan Jermal dan Sungai Puyu serta Parlimen Bagan.

"Lembangan ini sering mengalami banjir kilat akibat hujan lebat dalam tempoh singkat yang menyebabkan kapasiti sungai serta sistem perparitan tidak mencukupi. Keadaan menjadi lebih buruk apabila hujan lebat berlaku serentak dengan air pasang besar, mengakibatkan pertembungan air laut di muara Sungai Nyiur berhampiran Sungai Perai," katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan projek itu akan meningkatkan tahap keselamatan serta kesejahteraan penduduk setempat dengan menangani kawasan titik panas banjir seperti Jalan Thamby Kecil, Jalan Siram, SK Convent Butterworth, Kampung Muniammah (Jalan Siram) dan Kampung Sungai Nyiur sekali gus mengurangkan risiko banjir yang sekian lama menjejaskan kehidupan rakyat.

Beliau berkata semua projek berkenaan mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kesejahteraan rakyat Pulau Pinang serta komitmen berterusan dalam memastikan pembangunan negeri yang seimbang dan mampan.

Pada Jumaat lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Belanjawan 2026 yang mengumpulkan sumber berjumlah RM470 bilion, dengan tumpuan kepada pengukuhan daya tahan ekonomi dan sokongan kepada perniagaan kecil di tengah-tengah ketidaktentuan global.

Ia turut melibatkan beberapa projek dan inisiatif di Pulau Pinang termasuk pelebaran Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) dari Tol Juru ke Tol Sungai Dua, pembinaan Klinik Kesihatan Kubang Semang, naik taraf lokasi pengambilan air mentah, pemasangan paip air mentah ke Empangan Teluk Bahang, naik taraf Kompleks Sukan Bertam serta pembinaan laluan bawah tanah menghubungkan Jalan Mount Erskine ke Jalan Burma. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan