BELANJAWAN 2025 > BERITA

Bas Percuma Permudah Mobiliti Pelancong Sempena Tahun Melawat Johor 2026

13/10/2025 10:34 PM

JOHOR BAHRU, 13 Okt (Bernama) -- Kerajaan Negeri bakal menyediakan perkhidmatan bas percuma bagi memudahkan pergerakan pelancong yang berkunjung ke bandaraya Johor Bahru sempena Tahun Melawat Johor 2026.

Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata kemudahan itu turut bertujuan memberi keselesaan kepada pelancong selain memastikan pergerakan mereka lebih lancar meskipun beberapa projek pembangunan sedang dijalankan di kawasan terbabit.

“Kerja pembinaan di bandar ini adalah sebahagian daripada pembangunan. Contohnya, kita sediakan bas percuma di kawasan bandar bagi memudahkan pergerakan pelancong.

“Saya lihat kerja pembinaan itu tidak menjadi kekangan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Pelancaran Maskot, Tagline, Lagu dan Video Rasmi Tahun Melawat Johor 2026 di Zoo Johor, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas sama ada pembangunan infrastruktur termasuk projek Sistem Transit Rapid (RTS Link) Johor Bahru–Singapura akan menjejaskan kedatangan pelancong ke negeri ini.

Onn Hafiz berkata pelbagai kerja menaik taraf jalan raya dan kemudahan pelancongan sedang dilaksanakan sebagai persediaan menerima kehadiran pelancong sempena kempen berkenaan.

Selain itu, katanya pergerakan keluar masuk pelancong di pintu sempadan dijangka lebih lancar dengan penggunaan teknologi seperti sistem kod respons pantas (QR) di kaunter imigresen yang sudah disediakan.

Terdahulu, dua ekor harimau belang spesies Panthera Tigris yang dilahirkan di Zoo Johor, iaitu Cuping dan Jucy, dipilih sebagai maskot rasmi Tahun Melawat Johor 2026.

Slogan “Meh Lah Johor!” turut diumumkan sebagai tagline rasmi kempen, menggambarkan ajakan mesra rakyat Johor yang mengalu-alukan kedatangan pelancong untuk meneroka keunikan negeri itu.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan