BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47: 84 Dokumen Hasil Dijangka Dikeluarkan - Mohamad Hasan

13/10/2025 08:46 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Sebanyak 84 dokumen hasil dijangka dikeluarkan pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan sidang berkaitan yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), di sini pada 26 hingga 28 Okt ini.

Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata hal ini sekali gus mencerminkan komitmen Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini dalam memperkukuh hala tuju komuniti serantau menjelang Visi ASEAN 2045.

“Banyak perkara baharu yang telah kita persetujui. Alhamdulillah, Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN ini nampaknya dapat membuahkan hasil yang amat berkesan untuk komuniti ASEAN bagi menghadapi dan juga mengurus Visi ASEAN 2045,” katanya kepada media selepas meninjau persiapan sidang kemuncak berkenaan hari ini.

Beliau berkata sidang kemuncak kali ini akan menampilkan pendekatan baharu apabila menteri-menteri luar dan menteri-menteri ekonomi akan bermesyuarat secara bersama buat pertama kalinya bagi menyelaras keputusan serta dasar yang dibincangkan.

“Selama ini, (hasil) mesyuarat diputuskan oleh menteri-menteri luar dan (hasil) mesyuarat diputuskan menteri-menteri ekonomi, tak selaras... silo, masing-masing.

“Jadi kita nak selaraskan apa yang telah diputuskan oleh menteri-menteri ekonomi, dibawa dan diambil perhatian oleh menteri-menteri luar yang akan menyiapkan segala kertas kerja untuk dibincangkan di peringkat ketua-ketua negara,” katanya.

Mohamad berkata antara lain, Mesyuarat Komuniti Pelepasan Sifar ASEAN bersama rakan dialog Australia dan Jepun turut akan diadakan sempena sidang kemuncak itu bertujuan menjadikan rantau ini sebagai komuniti pelepasan sifar bersih.

Beliau berkata Malaysia selaku pengerusi turut akan memutuskan hala tuju perjanjian perdagangan ASEAN-Amerika Syarikat serta penambahbaikan Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN-China 3.0 memandangkan China kekal sebagai rakan dagang terbesar blok itu.

Selain itu, katanya, beliau akan mempengerusikan Mesyuarat Rangka Kerja Menteri-Menteri Luar pada 24 dan 25 Okt ini untuk membincangkan pelbagai perkara antaranya berkaitan Perjanjian Persahabatan dan Kerjasama (TAC) serta kemasukan Timor-Leste sebagai anggota ASEAN.

Beliau turut mengesahkan semua Ketua Negara ASEAN serta rakan dialog akan menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, namun kehadiran Presiden Rusia Vladimir Putin belum diketahui setakat ini.

Mengenai persiapan sidang kemuncak itu, Mohamad berkata semuanya berjalan mengikut jadual, malah aspek logistik serta jadual mesyuarat telah disusun dengan teliti.

-- BERNAMA


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan