BELANJAWAN 2025 > BERITA

Pavilion Malaysia Di Ekspo 2025 Osaka Pamer Hasil Awal Matlamat Belanjawan 2026 - MITI

13/10/2025 06:25 PM

Oleh Niam Seet Wei

OSAKA, 13 Okt (Bernama) -- Pavilion Malaysia di Ekspo 2025 Osaka mempamerkan hasil awal visi fiskal Belanjawan 2026, mencerminkan pembaharuan tadbir urus, peralihan hijau, dan pengukuhan perusahan kecil dan sederhana (PKS) di peringkat global, kata Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Antarabangsa dan Industri (MITI) Datuk Hairil Yahri Yaacob.

Katanya, pencapaian pavilion itu, terutamanya dalam potensi pelaburan dan perdagangan sebanyak RM24.45 bilion, melibatkan tiga tonggak MADANI yang digariskan dalam Belanjawan 2026, iaitu pertumbuhan bernilai tinggi, tadbir urus yang baik, dan kesejahteraan yang inklusif.

“Dari segi pertumbuhan bernilai tinggi, pavilion itu memperoleh sebanyak RM24.45 bilion dalam potensi perdagangan dan pelaburan merentas sektor yang dinyatakan secara jelas dalam belanjawan.

“Pelaburan itu melibatkan semikonduktor, tenaga boleh baharu, ekonomi digital, inovasi kecerdasan buatan (AI), dan industri halal, yang turut disasarkan dalam Pelan Induk Perindustri Baharu 2030 (NIMP 2030), Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Nasional (NETR), dan Rangka Kerja Insentif Perindustrian Baharu bermula pada 2026,” katanya.

Hairil Yahri berkata demikian pada sidang media bersempena majlis penutup Pavilion Malaysia di sini hari ini.

Mengenai tadbir urus yang baik, beliau berkata pelaksanaan pavilion yang telus oleh pelbagai agensi, merangkumi 21 kementerian persekutuan dengan 72 agensi dan 10 kerajaan negeri dengan 80 agensi, mencerminkan disiplin fiskal dan pembaharuan institusi yang ditekankan di bawah Akta Tanggungjawab Fiskal (FRA) dan Akta Perolehan Kerajaan. 

Mengenai kesejahteraan inklusif, khususnya pemerkasaan PKS, beliau berkata Belanjawan 2026 memperuntukkan sebanyak RM50 bilion dalam kemudahan pinjaman dan jaminan serta lebih RM2.5 bilion dalam pembiayaan mikro untuk usahawan tempatan.

“Ia sepadan dengan usaha pavilion untuk menghubungkan 462 PKS Malaysia dengan pembeli global, melakar cita-cita Malaysia untuk ‘mengangkat kedudukan’ menerusi pertumbuhan yang saksama,” katanya. 

Duta Besar Malaysia ke Jepun Datuk Shahril Effendi Abd Ghany berkata Ekspo 2025 Osaka adalah satu platform penting untuk mengukuhkan hubungan Malaysia-Jepun.

“Jepun sudah menjadi salah satu rakan ekonomi utama Malaysia, dengan lebih 2,800 projek Jepun dilaksanakan di Malaysia, bernilai lebih RM105 bilion dan mewujudkan lebih 340,00 pekerjaan.

“Ekspo ini membuka peluang kepada kita untuk membina asas yang kukuh,” katanya.

Selain itu, menerusi Pavilion Malaysia, Shahril Effendi berkata Malaysia mampu mewujudkan peluang kerjasama baharu dalam semikonduktor, tenaga boleh baharu, ekonomi digital, kemampanan alam sekitar, iaitu semua sektor yang sejajar dengan keutamaan negara Malaysia dan kepakaran Jepun.

“Pemeteraian perjanjian dengan rakan sejawatan di Jepun, termasuk Memorandum Kerjasama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA)-Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO), menunjukkan bahawa ekspo itu secara langsung memudahkan hubungan institusi yang lebih kukuh dan projek berorientasikan masa depan,” katanya.

Sementara itu, dalam ucapan penutupnya awal hari ini, Hairil Yahri berkata daripada RM24.45 bilion dalam potensi perdagangan dan pelaburan yang diperoleh daripada ekspo itu, sebanyak RM6.04 bilion adalah hasil lebih 70 memorandum persefahaman, perjanjian, dan kerjasama (MoU, MoA, MoC) yang ditandatangani pada acara itu.

Beliau berkata, bakinya merangkumi RM5.62 bilion dalam potensi eksport dan RM12.79 bilion dalam potensi pelaburan yang dijana daripada 1,555 mesyuarat perniagaan.

Pavilion Malaysia dengan keluasan 2,654.52 meter persegi merentasi tiga tingkat dan bertemakan ‘Weaving a Future in Harmony’ (Menenun Masa Depan Dalam Keharmonian) memaparkan komitmen negara ini terhadap masa depan yang mampan, inklusif dan berwawasan. 

Ia turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Seri Mohd Mustafa Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Sikh Shamsul Sikh Abdul Majid.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan