BELANJAWAN 2025 > BERITA

Sukan SEA: MAS Beri Bantuan Kewangan Kepada Atlet, Pegawai Pasukan Kategori B

13/10/2025 04:41 PM

KUALA LUMPUR, 13 Okt (Bernama) -- Akuatik Malaysia (MAS) menyediakan bantuan kewangan kepada semua atlet dan pegawai di bawah kategori B yang bakal mewakili negara pada Sukan SEA 2025 di Thailand hujung tahun ini.

MAS dalam kenyataan hari ini memaklumkan akan memberi subsidi 50 peratus daripada kos perbelanjaan dan tambang penerbangan atlet dengan keseluruhannya terdapat 82 atlet dan pegawai pasukan Kategori B, merangkumi lima disiplin akuatik, iaitu renang, terjun, renang artistik, polo air dan renang perairan terbuka.

“Keputusan ini telah dipersetujui Jawatankuasa Eksekutif MAS pada 5 Okt, mencerminkan komitmen berterusan MAS untuk memastikan Malaysia mengekalkan penyertaan yang kompetitif dalam semua sukan akuatik sebagai persediaan menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027.

“Penyertaan dalam Sukan SEA 2025 akan menjadi pencapaian penting, terutamanya bagi disiplin seperti renang artistik dan renang perairan terbuka yang agak lama tidak dipertandingkan di peringkat serantau.

“Inisiatif subsidi ini bertujuan mengurangkan beban kewangan yang ditanggung oleh atlet sambil mengukuhkan kehadiran Malaysia dalam semua disiplin akuatik,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, dalam kenyataan sama Presiden MAS Datuk Seri Shahidan Kassim berkata badan induk itu komited untuk menyokong perjalanan atlet dalam membuat persediaan untuk bersaing di pentas serantau.

“Sukan SEA 2025 berfungsi sebagai platform penting untuk pembangunan atlet, pembinaan semula pasukan dan kesiapsiagaan strategik ketika Malaysia bersiap sedia menjadi tuan rumah Sukan SEA 2027,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan