BELANJAWAN 2025 > BERITA

AMAR Pahang Sepakat Teguh Benci Rasuah

13/10/2025 12:57 PM

KUANTAN, 13 Okt (Bernama) – Mahasiswa mempunyai peranan amat penting dalam membentuk masyarakat yang membenci rasuah dan mampu menjadi benteng awal dalam memastikan negara bebas daripada gejala ini.

 

Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud berkata, penganjuran Program Integriti dan Antirasuah bersama Angkatan Mahasiswa Antirasuah (AMAR) Pahang misalnya adalah sebahagian daripada strategi memperkukuh usaha pencegahan rasuah secara menyeluruh.

 

“Justeru, saya menyeru mahasiswa agar menjadi barisan hadapan dalam perjuangan membanteras rasuah dan program ini diharap dapat menjadi platform berterusan dalam memperkasakan peranan AMAR sebagai penggerak utama agenda antirasuah di kampus serta menyokong aspirasi negara ke arah tadbir urus telus, berakauntabiliti dan berintegriti tinggi,” katanya ketika merasmikan majlis penutupan program AMAR Pahang di Agro Resort Semuji, di sini semalam.

 

Program dua hari yang bermula pada 11 Oktober dianjurkan oleh SPRM Pahang dengan kerjasama LKPP Corporation Sdn Bhd (LKPP) yang bertindak sebagai penaja program di bawah insentif potongan cukai kepada syarikat yang melaksanakan program antirasuah bersama SPRM.

 

Sementara itu, Pengurus Besar LKPP, Mohd Nazim Basiron berkata, pihaknya menyambut baik kerjasama dijalankan dengan SPRM Pahang kerana sinergi antara pelbagai pihak adalah penting dalam menanamkan nilai integriti sejak di institusi pengajian tinggi. 

 

“Bersedialah anda semua untuk menjadi seorang yang berintegriti kerana pasti akan ada ujian dan kepayahan bakal menanti,” katanya. 

 

Bertemakan “AMAR Pahang Sepakat Teguh dan Pahat Minda Perangi Rasuah, #IniJanjiSaya”, program ini menghimpunkan 155 pelajar dan 12 penyelaras AMAR daripada enam institusi pengajian tinggi di sekitar Pahang. 

 

Institusi yang terlibat ialah Kolej Profesional MARA (KPM) Indera Mahkota; Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Kuantan; Kolej Kemahiran Tinggi MARA (KKTM) Kuantan; Institut Kemahiran MARA (IKM) Tan Sri Yahaya Ahmad (TSYA); Kolej Universiti WIDAD dan Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Tengku Ampuan Afzan.

 

Selain itu, peserta turut mengambil bahagian dalam beberapa aktiviti tambahan berunsurkan integriti seperti Explorace Antirasuah yang dilaksanakan di sekitar kawasan kem Agro Resort Semuji. 

— BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2025 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan